NILAI, 16 Ogos 2014 – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menerima Naib Canselor baharu apabila YAB Menteri Pendidikan bersetuju untuk melantik Profesor Dato’ Dr. Musa Ahmad, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) USIM kejawatan berkenaan bermula 16 Ogos 2014 sehingga15 Ogos 2017.

Prof. Dato’ Dr. Musa Ahmad akan menjadi Naib Canselor Keempat Universiti ini menggantikan Prof. Dato’ Dr. Asma Ismail yang mengakhiri tugasnya pada 31 Mei lalu apabila dilantik sebagai Ketua Pengarah PendidikanTinggi, Jabatan Pengajian Tinggi, Kementerian Pendidikan Malaysia.

Anak kelahiran Panchor, Muar Johor ini berkelulusan Ijazah Sarjana Muda (Kelas Pertama) dalam jurusan Kimia (UKM, 1985); Master (Instrumention and Analytical Science) (University of Manchester, 1987) dan PhD (Optical Fibre Chemical Sensor) (University of Manchester, 1994).

Kepimpinan beliau di Universiti terserlah dengan pelbagai jawatan pernah disandang beliau sebelum ini antaranya Koordinator Program Matrikulasi UKM (1994-1996), Ketua Program Kimia UKM (2004-2007) dan Dekan Fakulti Sains dan Teknologi UKM (2009-2010) sebelum dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) USIM pada 15 Mei 2010.

Sebagai seorang ahli akademik, beliau amat aktif dalam melakukan pelbagai penyelidikan dalam bidang sains khususnya melibatkan teknologi sensor kimia dan biosensor. Hasilnya, pelbagai pengiktirafan diperingkat nasional dan antarabang satelah diterimanya seperti pingat emas di International Invention Geneva (2005), International Invention, Innovation, Industrial Design and Technology Exhibition (I-TEX 2008 & 2007) dan Ekspo Penyelidikan dan Inovasi UKM (2005).

Semasa berkhidmat di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), beliau terlibat secara langsung dalam pembangunan kepakaran penyelidikan sensor kimia dan biosensor UKM bermula tahun 1995 hingga 2005 bersama rakan penyelidik yang lain antaranya melalui projek penyelidikan pembinaan sensor kimia untuk penentuan kepedasan cili, pembinaan biosensor kimia berasaskan teknik sol-gel untuk analisis pestisid dan sebagainya.

Sumbangan beliau juga dapat dilihat dalam member khidmat nasihat kepakaran (consultancy) kepada Petronas Dagangan Bhd, Lembaga Pelabuhan Kuantan, Petronas OGP dan Shell dalam projek-projek utama mereka. Disamping itu, beliau aktif dalam penulisan buku teks dan jurnal ilmiah dan sehingga kini, lebih 130 jurnal ilmiah beliau telah diterbitkan di peringkat tempatan dan antarabangsa.Baru-baru ini beliau telah dipilih sebagai ahli Felo Akademi Sains Malaysia (ASM) dalam disiplin Sains Kimia semasa MesyuaratAgung Tahunan ASM ke-19.

Ketekunan beliau dalam bidang akademik, penyelidikan dan kempipinan di peringkat pengajian tinggi turut menerima pengiktirafan antaranya dianugerahkan The Royal Society of London & Academy of Science Malaysia Exchange Programme padatahun 2000 untuk program sebatikal di University of Kent, Canterbury, UK; Pingat Kebesaran Johan Mangku Negara (JMN) oleh DYMM Yang Dipertuan Agong pada 2011 dan Darjah Setia Bakti Negeri Sembilan (DBNS) yang membawa gelaran Dato’ oleh DYMM Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan sempena Hari Keputeraan Baginda yang ke-65 pada 2013.

Disediakan oleh :

PUSAT KOMUNIKASI STRATEGIK (STRACOMM)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan

Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204