NILAI, 17 Ogos 2014 – Booth USIM di Karnival Pengajian Tinggi Negara “Jom Masuk U” anjuran Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM)  mendapat sambutan hangat oleh pelajar aliran agama khususnya apabila peratusan pelajar memilih USIM di UPU sebagai pilihan utama meningkat saban tahun.

Penganjuran karnival pendidikan kali ke -10 sejak tahun 2005 ini bukan sahaja dapat membekalkan maklumat yang tepat dan terperinci kepada para pelajar dan guru, malah ibubapa juga boleh mendapatkan maklumat lanjut tentang pengajian yang dipilih oleh anak mereka.

Kebanyakkan pelajar yang datang ke booth mengatakan kesungguhan untuk menyambung pengajian dalam bidang agama sangat berkobar-kobar lebih-lebih lagi USIM bukan sahaja menawarkan program agama malah bidang sains, teknologi dan ekonomi juga turut ditawarkan di USIM.

YBhg. Prof Dato’ Dr Musa Ahmad, Naib Canselor USIM berkata, dengan mengambil pendekatan seimbang antara aspek mental, fizikal dan rohani, USIM menekankan persepektif pendidikan yang menyeluruh ke arah penyatuan ilmu Naqli (wahyu) dan Aqli (rasional) selaras dengan falsafah, misi, dan visi USIM.

“Penawaran model pendidikan yang unik ini membezakan USIM daripada universiti lain di seluruh dunia kerana paduan kedua ilmu ini mampu melahirkan idea dan penyelesaian yang relevan dalam menangani permasalahan ummah dan manusia sejagat, dan karnival seperti ini mampu memberi pendedahan tentang USIM secara umumnya”, jelas beliau.

Prof Dato’ Dr. Musa Ahmad yang hadir ke setiap zon bagi memberi sokongan turut melahirkan rasa gembira apabila ramai pelajar agama khususnya yang berminat untuk meneruskan pengajian di USIM.

Karnival Jom Masuk U ini telah berlangsung di sebanyak 6 Zon meliputi kawasan semenanjung dan Sabah Sarawak di mana majlis penutup karnival telah diadakan pada 16-17 Ogos di Padang Kawad, UTM Skudai Johor yang dirasmikan oleh Menteri Pendidikan YAB Tan Sri Dato’ Muhyiddin bin Haji Mohd Yassin. Dianggarkan lebih dari 5000 pengunjung yang hadir ke booth USIM di semua lokasi karnival diadakan.

Disediakan oleh :

PUSAT KOMUNIKASI STRATEGIK (STRACOMM)

Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

71800 Nilai, Negeri Sembilan

Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204