NILAI, 25 APRIL 2015 –Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menyediakan platform bagi pelajar yang berbakat dalam menyampaikan motivasi dan syarahan melalui penganjuran  program IPTA Young Motivator Competition (I-MAC) peringkat USIM yang berlangsung di Dewan Kuliah Pusat 3 (DKP3) baru-baru ini.

Bertemakan ”Talk Towards 1st Class”, merupakan anjuran di bawah Kelab Pembimbing Rakan Universiti (PRU) dengan kerjasama Unit Psikologi  Kaunseling dan Kerjaya (UPKK), Bahagian Hal Ehwal Pelajar.

Menurut Pengarah program Siti Hawa Mat Yunan, Ketua Exco Motivasi PRU berkata seramai 22 peserta dari kalangan pelajar pelbagai bidang menyertai pertandingan ini.

”Objektif utama program ini diadakan bagi melatih mahasiswa dalam membentuk personaliti yang menarik, berkeyakinan dan memupuk sifat berani serta berkebolehan dalam melontarkan idea”.

”Selain itu, inisitif penganjurannya juga adalah untuk mencari dua orang ikon yang berbakat yang akan mewakili USIM dalam program I-MAC di peringkat Kebangsaan yang akan diadakan pada 7 hingga 10 Mei di Universiti Putra Malaysia (UPM)”, jelas Hawa.

Menurut Muhammad Asyraf Amran,22, pelajar Tahun tiga Fakulti Pengajian Bahasa Utama, kemenangan Naib Johan yang dimenanginya merupakan satu kemenangan yang tidak disangka sama sekali kerana beliau hanya sempat berlatih malam sebelum program sahaja kerana kekangan masa di kuliah dan sibuk menguruskan program ini yang merupakan salah seorang AJK Protokol dan Perhubungan program I-MAC.

”Saya berasa sangat bersyukur kepada Allah, dan akan berlatih bersungguh-sungguh untuk melakukan yang terbaik mewakili USIM di UPM nanti”, tambah Asyraf lagi.

”Tahniah dan syabas kepada para peserta yang meluangkan masa untuk bertanding bagi melayakkan diri ke program I-MAC peringkat Kebangsaan, Bahagian Hal Ehwal Pelajar akan memperuntukkan bajet untuk program I-MAC ini diteruskan sebagai program universiti bagi melahirkan generasi yang berani menyampaikan motivasi dan syarahan kepada umum”, kata Encik Nasrul Hakim Ahmad, Ketua Bahagian Hal Ehwal Pelajar semasa merasmikan Majlis Penutup dan Penyampaian Hadiah kepada para pemenang.

Johan dimenangi oleh Nur Shahirah Abu Shafian, manakala tempat ketiga dimenangi oleh Nur Afiqah Mahmud. Masing-masing membawa pulang trofi, sijil penghargaan dan wang tunai.

Disediakan oleh:

Noorumaina Mohamed Yunus

PUSAT KOMUNIKASI STRATEGIK (STRACOMM)

Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

71800 Nilai, Negeri Sembilan

Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204