NILAI, 15 Mei 2023 – 200 peserta termasuk 38 orang pelajar Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina (FKAB) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) graduan tahun 2018 dan 2022 serta pelajar dari beberapa Universiti Awam, Politeknik dan Kolej Komuniti serta orang awam telah menjalani Program Kebolehpasaran Graduan Penjana KPT-Career Advancement Programme (KPT-CAP) menerusi projek pembinaan sebuah rumah contoh asnaf bagi tujuan untuk memperkenalkan rumah teknologi hijau yang boleh di jadikan ilham kepada pusat-pusat zakat Majlis Agama Islam di seluruh Malaysia.

Program ini telah dirasmikan oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni USIM, Prof. Dr. Adnan Mohamed Yusoff bertempat di Mizan Park, USIM.

Program yang dijalankan selama dua minggu dimulakan dengan program secara dalam talian menerusi modul RPG Group dan CIDB IBS 3 Malaysia selama empat hari, dan peserta seterusnya menjalani program secara amali melibatkan gerak kerja memasang rumah tersebut.

“USIM amat berterima kasih kepada RPG Group kerana berterusan menjalin hubungan baik dengan FKAB dan berharap program seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang. Kesudian pihak RPG Education & Training Centre menyumbangkan hasil binaan yang bernilai RM60,000.00 ini akan dimajukan sebaiknya bagi membantu meningkatkan fasiliti di kampus USIM,” ucap Prof. Dr. Adnan Mohamed Yusoff.

Sementara itu, Encik Azuhan Fauzi, Ketua Pegawai Eksekutif RPG Group berkata, konsep hijau yang diketengahkan merujuk kepada dinding rumah menggunakan panel IBS di mana teknologi ini hampir 80 peratus dapat menjimatkan pasir, simen dan mengurangkan lebihan barangan binaan di tapak bina. Impaknya, alam sekitar dapat dilindungi dari pembaziran di tapak binaan.

Ujarnya lagi, sebahagian dari sistem eletrik rumah akan dijana daripada tenaga solar sebagai back up untuk tenaga sambungan grid Tenaga Nasional Berhad (TNB). Seterusnya dapat menjadikan ia sumber tenaga lestari dan mengurangkan beban kewangan asnaf. Seterusnya, rumah ini akan dilengkapi dengan sistem penuaian air hujan/SPAH atau Rainwater Harvesting sebagai persediaan sumber air alternatif dan dikumpul secara alami dari bumbung rumah itu sendiri. Terima kasih kepada Yayasan Infaq Infra Malaysia atas sumbangan teknologi hijau.

Salah seorang peserta Aisyah Nabilah Roslee, pelajar tahun 3 FKAB turut berkongsi semangat dan perasaan teruja apabila mendapat peluang berada di tapak pembinaan bagi merasai sendiri pengalaman menjadi sebahagian pasukan pembinaan kali ini.

“Ini merupakan satu pengalaman berharga buat saya. Apabila dimaklumkan oleh pensyarah berkaitan program ini, saya merasakan ia sesuatu yang menarik kerana berkait dengan pembelajaran secara teori di kelas,” ujarnya.

Majlis Perasmian turut dihadiri oleh Encik Ir. Shahrin Amri Jahari Pengarah Jabatan Pembangunan dan Pengurusan Fasiliti (JPPF) USIM, Encik Mohd Asri Husain, Mantan Pengarah Pusat Alumni dan Kerjaya merangkap Ketua Projek, Ir. Dr Juliza Jamaludin Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar FKAB serta Puan Norhayati Jamil, Ketua Unit Corporate Industrial Training & Employment Centre, Politeknik Sultan Azlan Shah.

 

Sumber: Pusat Alumni dan Kerjaya

Dikemaskini oleh:
Noorumaina Mohamed Yunus
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan