SEPANG – Seramai 20 mahasiswa Sains Komputer (Keselamatan dan Jaminan Maklumat) Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), diiringi Ketua Projek iaitu Prof. Madya Dr. Sakinah Ali Pitchay dan bersama dua lagi ahli projek iaitu Prof. Madya Dr. Farida Hazwani dan Prof. Madya Dr. Najwa Hayaati bergiat aktif bagi bersama komuniti masyarakat setempat dalam menjayakan Program Teen Cyber Hasanat dengan tema “Jangan Sampai Kantoi, Dik”. Program ini turut mendapat kerjasama erat dari Persatuan Penduduk Taman Dahlia (PPTD) Sepang di bawah Geran Pertubuhan Prihatin Komuniti bernilai RM5000 di bawah penyeliaan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia telah diadakan  di Surau Al-Islah baru-baru ini.

Program Teen Cyber Hasanat ini merupakan aktiviti komuniti masyarakat yang berterusan diadakan bertujuan memberi kesedaran keselamatan siber kepada golongan remaja yang lebih cenderung terdedah kepada teknologi maklumat dan perkara negatif sekiranya teknologi ini tidak dikendalikan dengan dengan cermat.

Hasanat merupakan istilah dari Bahasa Arab yang bermaksud amalan baik yang sesuai diamalkan dalam dunia siber bagi mencegah sebarang risiko penipuan secara dalam talian. Antara aktiviti menarik yang telah dijalankan seperti kuiz dalam talian, ceramah ringkas, explorace keselamatan siber, papan permainan Secure Cybercitizenship (SET) yang memperkenalkan elemen didik hibur (edutainment) dan diakhiri dengan penyampaian cenderamata kepada pemenang.

Menurut Penasihat program, Prof. Madya Dr. Sakinah Ali Pitchay, “Projek Cyber Hasanat dengan pendekatan papan permainan SET dalam keselamatan siber turut mendapat perhatian juri-juri antarabangsa apabila telah memenangi tempat pertama bagi Anugerah OIC-CERT (Computer Emergency Response Team) Global Cybersecurity di Abu Dhabi, UAE pada 12 Oktober 2023 yang lalu. Ia memfokuskan tiga elemen penting iaitu proses, teknologi dan komuniti”. Ia bermula dari projek inovasi sosial iaitu SET yang dibangunkan dan turut telah memenangi Pingat Emas di Malaysia Technology Expo (MTE) 2023. Sehingga kini, SET telah digunapakai di beberapa komunti Negeri Sembilan dan Selangor dengan tujuan memupuk kesedaran keselamatan siber di peringkat generasi muda termasuk dalam pembelajaran bagi kursus Masyarakat Digital Inklusif.

Program ini diharapkan dapat mengeratkan lagi ukhwah di kalangan warga USIM dan komuniti penduduk taman serta memupuk semangat kesukarelawanan. Justeru itu, ia memberi peluang khususnya mahasiswa USIM mendekati secara dekat dengan komuniti dan mendidik kepentingan ilmu kesedaran siber agar dapat mengurangkan kadar statistik jenayah siber yang semakin berleluasa.