SEPANG 2 OGOS 2015 – Ketika mahasiswa lain masih gembira menyambut Aidilfitri dan menghabiskan cuti bersama keluarga, seramai 40 orang mahasiswa dari Universiti Sains Islam Malaysia telah bersama-sama hadir bagi menjayakan Kem Transformasi Kepimpinan dibawah seliaan Bahagian Hal Ehwal Pelajar USIM.
Kem yang dijalankan selama 3 hari 2 malam itu telah berjaya mencapai objektif antaranya untuk melahirkan pelapis kepimpinan bagi masa hadapan, mengendalikan program ad-hoc yang diberikan, cara menguruskan emosi dan semangat kerjasama untuk menyelesaikan sesuatu tugasan.
Sepanjang program, peserta didedahkan dengan kemahiran menguruskan organisasi dan perkongsian pintar daripada alumni USIM. Aktiviti yang paling memberi kesan kepada peserta ialah tugasan ad-hoc yang diberikan untuk mengadakan program kebajikan bersama masyarakat.
Usaha para peserta untuk menziarahi rumah kebajikan berakhir dengan penerimaan yang baik dari Pusat Jagaan Pertubuhan Rumah Kebajikan Subadhra, Sungai Pelek, Sepang. Program Semai Kasih yang dijalankan di dalam tempah 5 jam itu berjaya memupuk semangat kesukarelawan dalam generasi mahasiswa sekarang.
Pengasas rumah kebajikan Subadhra, Puan Subadhra Devi A/P Kuttan berkata “Sejak 2009 dan sehingga sekarang seramai 50 orang yang pernah berada dirumah kebajikan ini telah berjaya mendapat pekerjaan dengan bantuan dari pihak kami.”
Walaupun berlainan latarbelakang bangsa dan agama, ia tidak menjadi permasalahan bagi mahasiswa USIM untuk beramah mesra dan berkongsi rasa dengan warga penghuni rumah kebajikan tersebut. Salah seorang penghuni di rumah kebajikan Subadhra, puan angama, 89 yang menghadapi konflik dengan keluarganya telah membuka mata para peserta akan nasib malang warga tua yang amat memerlukan perhatian dan sokongan.
Pengarah Program Semai Kasih, Syed Iqbal Bin Said Jamallulail, 21, turut mengingatkan mahasiswa USIM dan mahasiswa diluar sana supaya mempunyai semangat kesukarelawan yang tinggi dalam diri masing-masing dan lebih memahami kehendak dan memahami kondisi masyarakat sekarang supaya program yang akan dijalankan mencapai keperluan masyarakat.
Manakala, Yang DiPertua Majlis Perwakilan Pelajar USIM , Abdul Muiz Abdul Hakim berkata, mahasiswa perlu ada semangat mahu melaksanakan sesuatu impian, bukan sekadar tahu tanpa bertindak. Mahasiswa tidak mungkin akan mengecapi kejayaan sekiranya mereka hanya berada dalam zon selesa dan mempersiapkan diri bagi menghadapi cabaran mendatang.
Turut hadir pada majlis perasmian penutup Encik Nasrul Hakim Ahmad, Ketua Bahagian Hal Ehwal Pelajar USIM berkata dalam ucapan beliau kepada semua pelapis kepimpinan pelajar, “Saya berpuas hati dengan semangat dan kesungguhan yang ditunjukkan oleh para peserta dan besar harapan saya agar semua yang ada disini untuk memberanikan diri bertanding dalam pilihanraya kampus akan datang dalam pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) ,” katanya.
Disediakan oleh:
Fatin Romli, Penghuluwati Kem Transformasi Kepimpinan
Dikemaskini oleh:
PUSAT KOMUNIKASI STRATEGIK (STRACOMM)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204