NILAI, 11 MEI 2015 – Pelbagai persepsi orang awam terhadap hiburan masa kini antaranya penganjuran konsert liar seperti Festival Muzika yang mengorbankan nyawa penonton remaja dan hiburan K-Pop yang mencetuskan kontroversi  kepada masyarakat khususnya di Malaysia yang berbilang kaum.

Selaras dengan perkembangan itu, Pusat Kebudayaan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) mengambil inisiatif menganjurkan Wacana Pencerahan Garis Panduan Hiburan Dalam Islam 2015 dengan kerjasama Majlis Kebudayaan Universiti-Universiti Malaysia (MAKUM) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Menurut Encik Ismail Ahmed, Pengarah Pusat Kebudayaan wacana ini bertujuan untuk mengupas bagaimana peranan seni itu boleh disenergikan dalam pembangunan manusia (pelajar) menerusi aspek akal, budaya dan agama. Selain sebagai platform kepada pentadbir seni di universiti-universiti awam, Jabatan kerajaan, NGO dan entiti yang berkaitan berkongsi ilmu berkenaan persembahan seni di Malaysia, ia juga turut memperkukuhkan kefahaman pentadbir seni agar selari dari segi persediaan dalam penganjuran program-program kesenian.

”Garis Panduan Hiburan Dalam Islam Edisi Kedua ini telah diperakukan oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Kali Ke-107 pada 10- 11 Februari 2015. Manakala Wacana Pencerahan Garis Panduan Hiburan Dalam Islam Edisi Kedua telah diterbitkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia bagi mendapatkan pandangan dan kupasan yang tepat dan menelusuri  aspirasi  syariat Islam”,tambah beliau.

Seramai 100 peserta dari pelbagai agensi antaranya TV Alhijrah, Radio Televisyen Malaysia, Radio IKIM, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), Persatuan Karyawan Malaysia, Universiti Putra Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Universiti Teknologi Malaysia dan banyak lagi.  Turut menampilkan dua orang panel jemputan iaitu YB Dato’ Nooh Bin Gadut, Penasihat Majlis Agama Islam Johor dan Dr. Irwan Mohd Subri Pengarah Institut Pengurusan dan Penyelidikan Fatwa Sedunia (INFAD) USIM.

Majlis dirasmikan oleh Prof. Dr. Nik Wan Bin Omar, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) merangkap Pengerusi MAKUM. Turut hadir Presiden Persatuan Karyawan Malaysia Dato Freddie Fernandez dan beberapa artis tempatan.

Disediakan oleh:

Noorumaina Mohamed Yunus

PUSAT KOMUNIKASI STRATEGIK (STRACOMM)

Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

71800 Nilai, Negeri Sembilan

Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204