BUKIT BARU – Merasai sendiri suasana bertugas dalam persekitaran tempat kerja yang mengamalkan 5S begitu mengujakan buat rombongan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang mengadakan Lawatan Kerja Amalan 5S ke Pusat Zakat Melaka (PZM) pada 22 Mei 2012 lalu. Lawatan yang diadakan ini merupakan salah satu daripada pengisian aktiviti sepanjang Minggu Kualiti dan Inovasi USIM anjuran Pusat Perancangan Korporat dan Pengurusan Kualiti (PPKPK) USIM yang bermula pada 21 hingga 25 Mei 2012.

Ketibaan rombongan Lawatan Amalan 5S USIM yang terdiri daripada kakitangan pelbagai jabatan seperti Pejabat Pentadbiran Naib Canselor, Bahagian Komunikasi Korporat dan Perhubungan Antarabangsa (BKKPA), Jabatan Pendaftar, Bahagian Pengajian Prasiswazah (BPPS), Jabatan Perpustakaan, serta Pusat Hubungan Industri dan Pengkomersialan (PHIP), telah disambut penuh mesra oleh Kakitangan PZM yang diketuai oleh Tuan Hj. Ismail Hj. Hasim, Pengurus Besar PZM.

Tuan Hj. Ismail Hj. Hasim dalam ucapan aluannya mengucapkan terima kasih kepada delegasi USIM yang diketuai oleh Dr. Sumaiyah Abd Aziz, Timbalan Pengarah PPKPK USIM, kerana memilih PZM sebagai destinasi pilihan untuk berkongsi pengalaman 5S yang dilaksanakan di sini.

“Kerajaan Negeri Melaka amat menggalakkan setiap agensi Kerajaan Negeri untuk mengamalkan dan mendapatkan Pensijilan 5S. Sehubungan itu, kami di PZM telah memulakan usaha itu secara konsisten dan komited sejak tahun 2009 lagi dan Kini Ibu Pejabat PZM dan semua Pejabat Cawangan PZM di sekitar Melaka telah memiliki Sijil 5S”, ulasnya lagi.

Amalan 5S yang menekankan kepada lima elemen penting iaitu Seiri (Sisih), Seiton (Susun), Seiso (Sapu), Seiketsu (Seragam) dan Shitsuke (Sentiasa Amal) terbukti memberi impak positif seperti peningkatan kualiti kerja, produktiviti dan kepuasan bekerja serta pengurangan pengambilan cuti sakit oleh kakitangan di PZM, berdasarkan hasil kajian yang mereka jalankan.

Encik Mohd Syafaat Sapari, Penolong Pendaftar PPKPK USIM memaklumkan USIM telah mula bergerak ke arah Pensijilan 5S pada tahun 2008 melalui pelbagai program yang dijalankan di peringkat dalaman untuk memberi pemahaman 5S kepada kakitangannya terlebih dahulu sebelum difokuskan kepada pengamalannya secara berkesan selepas ini dengan beberapa jabatan terpilih akan menjadi perintis.

Rombongan USIM turut dibawa untuk melihat dengan lebih dekat pelaksanaan 5S yang terdapat di PZM dengan melawat bilik fail, ruang kerja kakitangan dan pejabat serta Sudut 5S yang diwujudkan di setiap jabatan. Pemilihan PZM sebagai destinasi Lawatan Amalan 5S disifatkan amat tepat oleh ahli rombongan USIM kerana pelbagai input berguna dapat diperolehi semasa sesi taklimat dan lawatan ke sekitar PZM.

Oleh :
Mohd Zaini Othman
Jabatan Canselori