NILAI, 3 JUN 2016 – Menjelang kedatangan bulangan Ramadhan beberapa hari sahaja lagi, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)  melalui Pusat Penyelidikan Dalam Penyalahgunaan Dadah Asia (ACREDA) dengan kerjasama Pusat Kesihatan Universiti dan Jabatan Keselamatan menggerakkan Program Nafas Baru : Kempen Berhenti Rokok dan Vape 2016.

Program  ini yang merupakan kesinambungan dari Sambutan Hari Tanpa Tembakau Sedunia yang disambut pada 31 Mei setiap tahun telah dirasmikan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, YBhg Profesor Tan Sri Dato’ Dzulkifli Abdul Razak di Kolej Kediaman Satu USIM.

Berbentuk sebagai kempen, ia bertujuan memberi kesedaran dan menyediakan psiko-pendidikan kepada warga USIM yang ingin berhenti merokok dan menghisap vape dengan menjadikan keberkatan Ramadhan ini sebagai permulaannya untuk berhenti.

“Setiap tahun hampir 2 juta rakyat Malaysia mati berpunca dari tembakau ini. Bahaya rokok dan vape ini memang telah terbukti melalui kajian saintifik kerana itu Islam melarang umatnya terjebak dalam perkara yang memudaratkan ini. USIM amat menyokong penuh keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa, Majlis Hal Ehwal Islam Malaysia Kali Ke-37 yang menyatakan amalan merokok adalah haram di sisi Islam,” ucap Tan Sri Dzulkkifli dalam ucapannya.

“Apabila dari fatwa sudah menyatakan merokok adalah haram maka menjadi tugas kita melaksanakannya di peringkat Universiti mengikut kemampuan kita. Pada awal tahun ini, kita telah kuatkuasakan kampus sebagai zon larangan merokok dan vape dengan bentuk hukuman tertentu dikenakan berbentuk kompuan dan tatatertib,” tambahnya.

“Denda adalah bersifat hukuman, namun apa yang lebih penting adalah usaha untuk memberi kesedaran akan bahaya rokok dan vape kepada kakitangan dan pelajar secara berterusan termasuklah menyediakan ruang kepada perokok tegar yang mahu berubah menyertai modul-modul yang disediakan melalui Klinik Berhenti Merokok. Apa yang lebih penting adalah individu itu sendiri tampil untuk bebas dari asap rokok bermula Ramadan ini dan kerana itu kita pilih slogan ‘Ramadhan Tanpa Asap’ sebagai motivasinya”.

Program Nafas Baru : Kempen Berhenti Rokok dan Vape 2016 ini merupakan titik tolak kepada usaha untuk ke arah melahirkan masyarakat yang hidup sihat tanpa ancaman penyakit berbahaya seperti serangan strok, kanser paru-paru dan sakit jantung. Ia juga memperlihatkan usaha serius USIM bertindak sebagai role-model universiti yang melaksanakan larangan merokok dan vape di dalam kampus secara mapan.

Disediakan oleh:

Syazlyna Jamil
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan

Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204