Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dengan kerjasama Jabatan Kesihatan, Negeri Sembilan telah membantu dalam menyediakan perkhidmatan klinik pakar bergerak bagi rawatan mata atau dikenali sebagai KLiP Mobile kepada masyarakat Negeri Sembilan.

Inisiatif ini merupakan usaha pihak USIM bagi membantu Kerajaan Negeri Sembilan dalam menjayakan Projek Strategi Lautan Biru (SLB) berkonsepkan Kesihatan Sepanjang Hayat yang  merupakan program kerjasama strategik di antara Jabatan Kesihatan (JKN), Negeri Sembilan Kerajaan Negeri Sembilan bersama-sama dengan agensi-agensi lain di negeri ini termasuklah USIM.

Objektif am Projek Strategi Lautan Biru (SLB) berkonsepkan Kesihatan Sepanjang Hayat ini adalah untuk merakyatkan perkhidmatan kesihatan bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat di Negeri Sembilan. Manakala objektif khusus adalah untuk memberikan perkhidmatan kesihatan pencegahan melalui saringan komuniti dan pendidikan kesihatan kepada kumpulan sasaran.

Selain itu, ia juga bagi memberikan perkhidmatan rawatan perubatan melalui klinik Pakar Statik dan bergerak kepada penduduk kawasan pedalaman. Pada masa yang sama, program ini diharapkan dapat membantu membekalkan peralatan perubatan kepada golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) dan warga emas yang memerlukannya.

Menerusi kemudahan KLiP Mobile ini, masyarakat luar bandar berpeluang mendapatkan perkhidmatan pemeriksaan mata oleh doktor pakar yang turut sama bertugas melawat kawasan-kawasan luar bandar ke seluruh daerah di Negeri Sembilan secara berkala untuk memberikan rawatan dan khidmat nasihat termasuklah rawatan susulan ke hospital sekiranya diperlukan. KLiP Mobile ini turut dilengkapi dengan peralatan pemeriksaan, mata yang terkini dan mempunyai kemudahan untuk pergerakan kerusi roda bagi pesakit kurang berupaya. untuk menjalani pemeriksaan di dalam KLiP Mobile ini.

KLiP Mata Pakar Bergerak (KLIP Mobile)  dirasmikan oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Utama Hj Mohamad Hj Hasan pada 17 November 2015 di Dataran Masyarakat di Batu 13, Labu, Negeri Sembilan. Sepanjang tahun 2016, KLiP Mobile USIM telah berjaya mengadakan program pemeriksaan dan saringan mata kepada masyarakat di 16 lokasi di seluruh Negeri Sembilan.

Hasil kerjasama di peringkat USIM, Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan (JKNS), Hospital dan agensi di bawah Kerajaan Negeri, seramai 963 pesakit berjaya diberikan rawatan oleh KLIP Mobile USIM ini. Pesakit terdiri daripada warga emas berusia lebih 65 tahun seramai 310 orang (32.19%); pesakit berusia 40-64 tahun seramai 487 orang (50.57%); umur 18-39 tahun 114 orang (11.84%); umur di antara 7-17 tahun (5.19%) dan yang berumur di bawah 7 tahun (0.2%).

Hasil daripada pemeriksaan dan saringan yang telah dibuat, seramai 214 pesakit telah dirujuk kepada pihak Pakar Mata di Hospital bagi menjalani rawatan susulan dan seramai 125 yang telah dirujuk dan dikenalpasti untuk menjalani pembedahan Katarak.

Di antara penyakit yang dikenalpasti semasa pemeriksaan adalah katarak seramai 250 orang (30.01%); dan masalah rabun (Refractive Error) 71 orang (8.52%). Seramai 35 orang pesakit (4.2%) dikesan mempunyai ciri-ciri penyakit Glaukoma; dan seramai 30 orang pesakit (3.6%) mempunyai selaput di bahagian luar mata (Pterygium). Manakala seramai 305 orang pesakit yang mengidap kencing manis telah menjalani pemeriksaan dan saringan, didapati tahap komplikasi kencing manis dalam mata adalah sebanyak 15 peratus.

Di antara cabaran yang dihadapi oleh KLiP Mobile adalah mengenalpasti pesakit yang telah dirujuk mendapat rawatan susulan di Hospital. Untuk mencapai matlamat ini KLiP Mobile dengan kerjasama Unit Premier Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan membuat susulan pantauan kepada pesakit pesakit berkenaan. Di antara kekangan pesakit adalah tidak mempunyai pengangkutan ke hospital yang telah dirujuk. Masalah ini mungkin boleh di atasi dengan adanya peranan non goverment agency (NGO)  atau persatuan penduduk yang lebih prihatin untuk membantu pesakit pesakit tersebut.

KLiP Mobile USIM ini akan meneruskan perkhidmatan pada tahun 2017 dengan mengadakan program klinik pakar mata  dan saringan mata  ke perkampungan di tujuh daerah di negeri Sembilan yang telah dikenalpasti oleh Unit Premier,Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan secara berkala . Pasukan KLiP Mobile juga dalam fasa kedua program telah menjalankan pembedahan katarak dan pembedahan kecil lain untuk pesakit KLiP Mobile di Hospital Tampin.

Pembedahan pertama oleh Pasukan telah berjaya dijalankan pada 17 Jnauari 2017 melibatkan seramai 5 pesakit.  Pihak USIM berharap, perkhidmatan ini akan membantu masyarakat di Negeri Sembilan mendapatkan kemudahan kesihatan yang terbaik dan dapat membantu program pencegahan penyakit tidak berjangkit selaras dengan usaha menjayakan Projek Strategi Lautan Biru (SLB) berkonsepkan Kesihatan Sepanjang Hayat.