NILAI, 18 Julai 2019- Bagi individu yang tidak mampu melihat, pastinya terdapat kekangan untuk mempelajari solat. Oleh itu satu kajian telah dibuat bagi membangunkan bahan bantu mengajar yang direka khas untuk mengatasi masalah pembelajaran solat bagi orang kurang upaya (OKU) penglihatan. Pensyarah dari Fakulti Pengajian Quran Sunnah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Encik Mohd Nur Adzam Rasdi bersama ahli kumpulan penyelidiknya telah menghasilkan Visual Impairment Tactile Audio Book (ViTAB) Solat.

Encik Adzam berkata, untuk mendapatkan hasil yang maksima bahan bantu mengajar ini perlu merangkumi beberapa elemen khas yang sesuai dengan penggunaan deria OKU penglihatan seperti gambar pergerakan rukun solat yang ditimbulkan, teks keterangan di dalam tulisan Braille dan audio bacaan bagi setiap rukun solat.

”Dengan penggabungan kesemua elemen ini, proses pembelajaran ibadah solat bagi individu yang bermasalah penglihatan akan menjadi lebih mudah dan berkesan, di samping dapat meminimumkan kebergantungan mereka terhadap tenaga pengajar.

”Penghasilan bahan ini adalah sejajar dengan teras strategik 3 di dalam pelan tindakan OKU yang dikeluarkan oleh Kementerian Pembangunan Wanita dan Masyarakat iaitu meningkatkan akses OKU kepada pendidikan untuk mendapatkan akses yang lebih baik tentang ibadah solat dan menyumbang kepada perkembangan teknologi dalam pendidikan Islam khususnya dalam skop pendidikan khas”, jelas Adzam.

Bagi menghasilkan buku ini turut mendapat kolaborasi bersama KL Resources, Persatuan Cacat Penglhatan Islam Malaysia dan Malaysia Association for the Blind.

Buku ini pernah meraih pingat peral dalam kategori pendidikan di International Invention Innovation and Technology Exhibition (ITEX) 2019 yang berlangsung di PWTC Kuala Lumpur pada Mei lepas.