Bandar Baru Nilai, 15 Oktober 2010 –  Gabungan pelajar Malaysia dan Antarabanga Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) berentap menyampaikan puisi dalam bahasa melayu begitu mengujakan dalam program Sanggar Puisi Antarabangsa (Bahasa Melayu) Piala Tan Sri Yusof Noor baru-baru.

Sebanyak 15 penyertaan secara berkumpulan telah bertanding di peringkat saringan dan 6 finalis terpilih untuk ke pertandingan akhir. Setiap kumpulan terdiri dari dua atau lebih ahli kumpulan dan perlu ada gabungan dari pelajar Malaysia dan antarabangsa seperti negara China, Indonesia, Nigeria, Thailand dan Gambia.

Menurut Y.bhg. Profesor Dato’ Dr. Mohamed Asin Dollah, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar & Alumni (HEPA), program sebegini dapat memperkenalkan bahasa melayu ke peringkat antarabanga disamping memberi galakan dan suntikan semangat kepada pelajar setempat dalam mengagungkan bahasa ibunda mereka.

“Saya berharap program ini akan diangkat menjadi program antarabangsa dengan penyertaan dari semua pelajar universiti seluruh Malaysia”, tambah beliau lagi.

Salah seorang peserta Ma Wei Xia dari China, pelajar Fakulti Pengajian Bahasa Utama (FPBU) USIM berkata, beliau begitu teruja untuk belajar bahasa melayu walaupun agak susah pada mulanya untuk menghafal puisi.

“Saya mengambil masa lebih kurang dua minggu untuk menghafal puisi dalam bahasa melayu. Ini merupakan satu pengalaman baru bagi saya disamping dapat mempelajari bahasa lain selain bahasa ibunda.

Sementara itu Abu Bacarr Saho dari Gambia begitu teruja mendeklamasikan puisi dalam bahasa melayu.

“Saya seronok mempelajari bahasa melayu kerana bahasa melayu begitu indah dan lembut. Walaupun baru kali pertama menyertai pertandingan ini, kumpulan saya berjaya mendapat tempat kedua hasil gabungan kawan-kawan saya dari Malaysia dan Thailand”.

Tempat pertama telah disandang oleh gabungan pelajar dari Malaysia, Mohd Anas Mohd Aris  dan Indonesia, Aisyah Sjahrony. Mereka menerima RM 500 beserta piala iringan. Manakala tempat kedua dan ketiga masing-masing menerima RM 350 dan RM 250.

Sayembara yang bertemakan “Kemanusian Sejagat” ini merupakan kali ke-3 penganjurannya. Ianya bertujuan memberi peluang dan ruang kepada pelajar antarabangsa mengenali budaya Malaysia melalui penguasaan Bahasa Melayu disamping menjadi penyambung silaturrahim antara pelajar dan komuniti sarjana.

Oleh :
Siti Maizatul Akmar Ismail
Pembantu Wartawan
Unit Komunikasi Korporat
pwartawan@usim.edu.my
Tel : 06-7988025/8026/8027/8028

Gambar oleh : Mohd Yusrizal Mohd Yunus (06-7988058)