NILAI, 26 Jun 2021 – Seramai 40 orang yang terdiri daripada anggota Barisan Hadapan sekitar Nilai dan kakitangan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) antara kumpulan pertama yang menerima vaksin sempena Program Simulasi Pengoperasian Pusat Pemberian Vaksin (PPV) IPT Mega USIM yang berlangsung 26 Jun 2021 di Dewan Tuanku Canselor.

YB Dato Dr Razali Ab Malik, Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan melakukan tinjauan operasi Simulasi yang diadakan dua hari sebelum PPV IPT Mega USIM ini akan beroperasi secara rasmi pada 28 Jun Isnin ini.

Katanya, program simulasi ini penting bagi memastikan kelancaran program dan persiapan teratur dan terancang. Sejak PPV di Negeri Sembilan diadakan status penggunaan vaksin sudah menghampiri sasaran yang ditetapkan oleh Kerajaan Persekutuan iaitu hampir 95%.

Dalam pada itu, Persatuan Pegawai Tadbir & Ikthisas (PRAGMATIS) USIM telah menggerakkan usaha mencari dana dan penyumbang kerusi roda bagi kegunaan orang awam terutamanya melancarkan pergerakan OKU dan warga emas sepanjang aktiviti vaksinasi ini berlangsung.

“Kempen carian dana ini mendapat sambutan dan telah mencapai sasaran iaitu sebanyak 50 unit kerusi roda disumbangkan oleh pelbagai pihak antaranya dari alumni universiti, Masjid Nilai, komuniti Taman di Nilai selain ahli-ahli persatuan itu sendiri. PRAGMATIS juga turut menyerahkan sumbangan 60 rim kertas A4 untuk kegunaan di PPV IPT ini”, ujar Encik Mohd Salehudin Sukor, Pengerusi PRAGMATIS.

PPV IPT Mega USIM ini merupakan PPV IPT yang pertama di Negeri Sembilan yang boleh memuatkan sehingga 400 peserta dengan penjarakan sosial dalam satu masa. Sebanyak 1500 suntikan vaksin sehari akan diberikan untuk minggu pertama, sebelum ditingkatkan menjadi kapisiti maksimum  sebanyak 3000 suntikan sehari.

 

Disediakan oleh:
Noorumaina Mohamed Yunus
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan