NILAI – Pusat Pembangunan Kemahiran Insaniah (PPKI) dan Pusat Sukan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) julung kalinya berganding bahu menganjurkan Majlis Apresiasi Kokurikulum dan Sukan Holistik (MAKISH) 2025 bersempena dengan penutupan Festival Kokurikulum (FESKOM) 2026 pada 28 Jun 2026 bertempat di Dewan Utama, Fakulti Pengajian Bahasa Utama (FPBU), USIM .
Majlis dirasmikan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Mushaddad Hasbullah, dengan bertemakan “Iltizam Pencetus Aspirasi Kecemerlangan”, yang menjadi wadah untuk menghargai komitmen, dedikasi dan pencapaian warga universiti dalam bidang kokurikulum dan sukan.
Prof. Dr. Mushaddad dalam ucapan perasmiannya menyeru mahasiswa supaya terus aktif dalam aktiviti kokurikulum dan sukan sebagai ruang untuk membina potensi, kepimpinan dan jati diri.
“Kecemerlangan sebenar bukan hanya dilihat pada keputusan peperiksaan, tetapi juga pada keupayaan untuk membawa diri, berkhidmat kepada orang lain dan memberi manfaat kepada masyarakat,” katanya.
Majlis menyaksikan penyampaian lebih daripada 26 anugerah menerusi dua kategori utama, iaitu Anugerah Pusat Sukan dan Anugerah PPKI.
Bagi kategori sukan, Prof. Madya Ir. Dr. Khairi Abdul Rahim dan Nurul Nabilah Ahmad Nazri masing-masing menerima Anugerah Olahragawan dan Olahragawati bagi kategori staf. Mohamad Faiz Hakim Md. Samiri dan Norihusna Khairudin pula dinobatkan sebagai Olahragawan dan Olahragawati bagi kategori pelajar.
Pasukan Bola Sepak USIM dan Pasukan Silat USIM turut menerima pengiktirafan sebagai Pasukan Terbaik Pelajar. Bagi kategori PPKI, Anugerah Inspirasi Staf Kokurikulum disampaikan berdasarkan tiga teras kepimpinan, manakala Anugerah Projek Kesukarelawanan dan Komuniti Berimpak diberikan sebagai pengiktirafan kepada mahasiswa yang berjaya melaksanakan projek yang memberi manfaat kepada masyarakat.
Dua anugerah utama turut disampaikan, iaitu Anugerah Lestari Iltizam Kokurikulum kepada mantan Timbalan Komandan Kor Siswa-Siswi Pertahanan Awam (SISPA) USIM, Haji Mazlan Nawang, sebagai penghargaan atas sumbangan besar beliau terhadap pembangunan kokurikulum universiti.
Anugerah Tokoh Kepimpinan Pusat Sukan pula dianugerahkan kepada mantan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) USIM, Prof. Madya Dr. Mohd Rushdan Mohd Jailani.
Sementara itu, Pengarah PPKI merangkap Pengarah MAKISH 2025, Prof. Madya Ts. Dr. Sakinah Ali Pitchay berkata, USIM sentiasa menekankan pembangunan mahasiswa yang seimbang dan menyeluruh, bukan sahaja dari sudut akademik, malah dari aspek sahsiah, kepimpinan dan sumbangan kepada masyarakat.
“Di USIM, kita percaya bahawa kecemerlangan mahasiswa tidak hanya diukur melalui pencapaian akademik semata-mata. Mahasiswa yang seimbang ialah mahasiswa yang mampu menguasai ilmu, membentuk sahsiah dan kepimpinan dengan hikmah, berbakti kepada komuniti serta membawa nama universiti dengan penuh amanah,” katanya dalam ucapan alu-aluan.
Majlis turut menyaksikan penyampaian Anugerah Penghargaan Khidmat Setia kepada staf yang telah berkhidmat sekurang-kurangnya 10 tahun dalam pengurusan kokurikulum berkredit.
Antara penerimanya ialah Nor Farraliza Soon Mustafa dan PW II Normazilah Kamarudin.
Penganjuran MAKISH 2025 turut mendapat sokongan Urus Setia Kokurikulum Pelajar (UKP) di bawah PPKI serta rakan strategik seperti Balai Bomba dan Penyelamat Nilai, yang menerima Anugerah Rakan Strategik PPKI atas kerjasama dan komitmen berterusan.
Penghargaan turut diberikan kepada penaja utama, iaitu Pusat Wakaf dan Zakat USIM, Muhibbah Food Bank Malaysia Society dan Buruj atas sokongan dalam menyantuni para penerima anugerah. Penganjuran sulung MAKISH mencerminkan komitmen berterusan PPKI dan Pusat Sukan USIM dalam membudayakan kecemerlangan kokurikulum dan sukan secara holistik dalam kalangan mahasiswa serta staf. Usaha ini selaras dengan hasrat universiti untuk melahirkan graduan yang seimbang dari aspek akademik, sahsiah, kepimpinan dan sumbangan kepada masyarakat.
Turut hadir sama pada majlis itu ialah Pengarah FESKOM 2026, Dr. Syamila Mansor dan Pemangku Pengarah Pusat Sukan USIM, Md. Ishah Rahman.




