REMBAU, 7 JUN 2015 – Seramai 43 mahasiswa Sekretariat Sahabat Kembara Ilmu (skil) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah menyertai program Jalinan Mesra bersama penduduk Kampung Ulu Chembong, Rembau, Negeri Sembilan yang diadakan selama dua hari pada 6 hingga 7 Jun 2015.
Menurut Pengarah Program Muhammad Azim Md Fazli Nor, program yang menggambarkan kebersamaan warga USIM ini merupakan penganjuran bersama dengan entiti kerajaan dan NGO seperti Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Pusat Dakwah Islamiah (PDI), Jabatan Hal Ehwal Negeri Sembilan, IM4U dan Karangkraf. USIM yang diterajui oleh Sekretariat Sahabat Kembara Ilmu turut dibantu Pusat Komunikasi Strategik (Stracomm) USIM dan secara komited merancang kelancaran perjalanan program agar berjaya mencapai objektif yang ditetapkan.
”Objektif program antaranya adalah untuk menanam rasa tanggungjawab dan sifat kesukarelawan untuk memberikan khidmat sosial, motivasi dan juga kesedaran kepada masyarakat yang terdiri daripada pelbagai lapisan sosial sebagai satu langkah kearah memupuk semangat cintakan ilmu dan juga kesedaran sosial dalam kalangan mahasiswa”.
”Selain itu program ini juga dapat menjalinkan hubungan silaturrahim sesama masyarakat dan mengaplikasikan kemahiran berkomuniti dalam komuniti yang sebenar disamping dapat membina profil penduduk serta mengadakan kelas-kelas tambahan sebagai salah satu cara untuk meningkatkan prestasi penduduk”, tambah Azim.
Pelbagai aktiviti yang dijalankan di sana antaranya pemeriksaan kesihatan yang dijalankan oleh pelajar Fakulti Sains dan Kesihatan USIM, pembahagian keluarga angkat, sukan rakyat, malam pengucapan awam dimana para peserta dan anak-anak orang asli diajar untuk bersajak dan berlakon, Latihan dalam Kumpulan (LDK) bertajuk ‘ Learning is Fun’ dan sesi bual bicara tentang pentingnya pelajaran dan ilmu pengetahuan dalam kehidupan, serta para peserta turut mengajar anak-anak orang asli tentang peta minda bagi memudahkan mengigatkan sesuatu ilmu yang dipelajari.
Impaknya, program ini cukup berpotensi untuk menjayakan hasrat universiti ke arah melahirkan mahasiswa yang bukan sahaja bersaing memburu kecemerlangan akademik, bahkan mampu untuk melahirkan graduan yang berdisiplin dan berkepimpinan.
Program perasmian penutup disempurkan oleh Pemangku Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Madya Dr Adnan Bin Muhammed Yusoff, serta turut hadir sama Encik Jasmin Jaimon Ketua Pustakawan USIM.
Disediakan oleh:
Nur Amalina Binti Mohd Buhani, AJK Dokumentasi
Dikemaskini oleh:
PUSAT KOMUNIKASI STRATEGIK (STRACOMM)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204