SEREMBAN, 24 APRIL 2015 – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) meraikan pada pengamal media melalui penganjuran ‘Media Night with Stracomm 2015’ pada 23 April 2015 bertempat di Pusat Bowling Mydin Mall, Seremban 2 . Program anjuran Pusat Komunikasi Strategik (StraComm) USIM turut mendapat kerjasama Kelab Wartawan Negeri Sembilan (i-KWAN).

Objektif penganjurannya adalah sebagai tanda penghargaan dan meraikan rakan media yang sentiasa memberi kerjasama baik melalui publisiti dan promosi berkaitan kejayaan dan pencapaian USIM dalam pelbagai bidang seperti penyelidikan, kecemerlangan pensyarah dan pelajar serta program anjuran Universiti yang berimpak tinggi.

Seramai 32 pengamal media mewakili pelbagai agensi antaranya Utusan Malaysia, Berita Harian, Harian Metro, Sinar Harian, News Straits Times, N9 Kini, Kosmo, BERNAMA, TV Alhijrah, TV3 dan RTM menyertai program ini.

Turut serta bermain bersama media adalah Pengurusan Universiti iaitu Naib Canselor USIM, Prof. Dato’ Dr. Musa Ahmad; Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Zulkiple Abd Ghani; Pendaftar USIM, Encik Muhammad Haizuan Rozali ; Pengarah StraComm, Dr Faizal Kasmani dan jemputan khas  daripada kakitangan Istana Negeri Sembilan.

“Media cetak dan elektronik merupakan entiti penting yang membawa USIM dekat kepada masyarakat. Melalui Pelan Strategik USIM 2013-2025 yang memfokuskan Universiti akan menjadi sebagai Universiti rujukan dalam nic (kebitaraan) Integrasi Ilmu Naqli dan Aqli di peringkat serantau pada 2016 dan global menjelang 2025, media secara langsung terlibat dalam merealisasikan hasrat murni ini “.

“Sebagai perbandingan, pada Januari sehingga Mac 2014, hits media USIM adalah sebanyak 267 hits dengan PR Value mencecah RM2.5 juta, manakala bagi tempoh yang sama untuk tahun ini, jumlah hits yang kita perolehi adalah sebanyak 418 hits dan PR Value mencecah RM8.9 juta. Bagi tempoh ini, purata USIM dipaparkan di media adalah sebanyak 139 berita per bulan, 35 berita per minggu atau 5 berita per hari. Ini merupakan peningkatan yang amat ketara dan memberi indikasi yang sangat positif”.

“Program riadah bowling ini dipilih kerana ia berbentuk santai dan menonjolkan kerjasama berkumpulan selain itu ia secara tidak langsung mendekatkan Pengurusan Universiti dengan pengamal media dan membina hubungan strategik dengan agensi media cetak dan elektronik” ujar Naib Canselor.

USIM bercadang untuk ‘lebih intim’ dengan pengamal media antaranya termasuklah melibatkan pengamal media dalam aktiviti berimpak tingi sama ada dalam atau luar negeri, melantik pengamal media sebagai mentor kepada pelajar komunikasi dan pelajar yang berminat dalam penulisan artikel.

Utusan Malaysia menunjukkan taringnya apabila menjuari bagi kategori Berkumpulan dan Individu manakala Harian Metro dan Unit Fotografi NSTP muncul Naib Johan dan Ketiga dalam kategori Berkumpulan. Para pemenang masing-masing menerima hadiah berupa wang tunai, trofi dan hamper.

Disediakan oleh:

Zaini Othman

PUSAT KOMUNIKASI STRATEGIK (STRACOMM)

Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

71800 Nilai, Negeri Sembilan

Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204