Nilai, 30 Mac 2014 – Karnival Sukan antara Kolej-kolej kediaman Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) kali ke 4 (SUKOL 4)  telah melabuhkan tirainya dengan penuh meriah dalam majlis perasmian penutup pada 30 Mac yang lalu. Program yang berlangsung bermula 12 hingga 16 Mac ini terpaksa di tangguhkan selama seminggu atas faktor jerebu yang teruk melanda Nilai baru-baru ini. Majlis perasmian penutup SUKOL 4 telah dirasmikan oleh YBhg. Prof Dato’ Dr Mohamed Asin Dollah, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) bertempat di Pusat Sukan Tunku Najihah, USIM.

Program yang berlangsung selama tiga minggu yang menyaksikan Kolej kediaman Acacia Avenue sebagai tuan rumah pada tahun ini telah mendapat penyertaan yang begitu menggalakkan dari semua mahasiswa khususnya pelajar yang menginap di Kolej-Kolej Kediaman USIM. Menariknya, SUKOL 4 kali ini turut disertai oleh Out Campus Students Society (OCSS) yang menginap di luar kolej kediaman USIM. Kehebatan mereka terserlah dalam beberapa acara yang dipertandingkan. Tidak ketinggalan kolej kediaman Acacia Avenue selaku tuan rumah, Kolej kediaman satu, Kolej kediaman Pandan, Kolej kediaman Desa Jati, Kolej kediaman Sutera Indah dan Kolej kediaman Nilam Court yang menampilkan aksi yang menarik bagi merebut gelaran juara.

Antara sukan yang dipertandingkan ialah bola sepak, tarik tali, bola tampar, futsal, pingpong, catur, olahraga (lumba lari dan lompat jauh) dan takraw. Menurut YBhg. Prof Dato’ Dr Mohamed Asin Dollah, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), dengan penglibatan pelajar pada SUKOL 4 ini, Pusat Sukan akan turut mencari pelapis pelajar-pelajar yang berkaliber dalam sukan bagi menyertai kejohanan sukan peringkat IPT seperti MASUM dan SukIPT akan datang. “Saya percaya pelajar yang berbakat dalam arena sukan ini bakal mengharumkan nama USIM di samping mengasah semangat berpasukan di luar kampus” tambah beliau. Justeru, Sukol 4 menyaksikan pelajar-pelajar ijazah sarjana muda tahun 1 dari Kolej Kediaman 1 muncul johan keseluruhan sekaligus mengalahkan Kolej kediaman Acacia Avenue yang merupakan juara pada Sukol 3 yang lepas dan mendapat naib johan. Manakala tempat ketiga disandang oleh Kolej kediaman Desa Jati.

Tahniah diucapkan atas kerjasama yang baik dari semua pihak terutamanya Jawatankuasa Kebajikan Kolej Kediaman (JAKSA), Pusat Sukan dan Bahagian Hal Ehwal Pelajar yang banyak membantu dan memberi sokongan dari pelbagai sudut.

Jumpa di SUKOL 5 yang akan dianjurkan Kolej kediaman Sutera Indah selaku tuan rumah Sukol pada tahun hadapan.

Disediakan oleh:

Raihan Nasir

Dikemaskini oleh:

Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)