BANDAR BARU SALAK TINGGI – Program Bioteknologi Makanan, Fakulti Sains dan Teknologi (FST), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menyemarakkan Karnival Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) di Sekolah Kebangsaan Taman Seroja menerusi pelbagai eksperimen interaktif berasaskan sains makanan dan bioteknologi pada 22 Julai 2026 baru-baru ini.

Program itu memberi peluang kepada kira-kira 300 murid Tahun 6 meneroka konsep asas sains melalui pendekatan pembelajaran secara praktikal, menyeronokkan dan mudah difahami.

Penyertaan FST melibatkan lapan pensyarah dan staf makmal, lima pelajar siswazah serta tiga alumni Program Bioteknologi Makanan yang bertindak sebagai fasilitator sepanjang karnival berlangsung.

Menurut pensyarah Program Bioteknologi Makanan FST, Dr. Maryam Mohamed Rehan selaku ketua projek berkata, pendekatan pembelajaran secara praktikal dapat membantu murid memahami bahawa ilmu sains bukan sekadar teori di dalam bilik darjah, sebaliknya mempunyai hubungan rapat dengan kehidupan seharian.

“Melalui eksperimen yang mudah, interaktif dan menyeronokkan, murid dapat melihat sendiri bagaimana konsep sains diaplikasikan dalam makanan dan kehidupan harian. Kami berharap pendedahan awal ini dapat menyemai minat mereka terhadap bidang STEM serta mendorong mereka untuk terus meneroka ilmu sains,” katanya.

Antara aktiviti yang mendapat sambutan ialah eksperimen pengesanan kanji menggunakan larutan iodin, demonstrasi fungsi yis dan natrium bikarbonat sebagai agen penaik serta pemerhatian sel organisma menggunakan mikroskop.

Murid turut berpeluang menjalankan pengekstrakan asid deoksiribonukleik (DNA) daripada buah-buahan, eksperimen hidrolisis sukrosa kepada glukosa serta mengenali perbezaan antara pewarna semula jadi dengan pewarna tiruan dalam makanan.

Selain itu, demonstrasi perubahan warna ekstrak bunga telang berdasarkan tahap keasidan atau nilai pH turut diketengahkan bagi membantu murid memahami konsep asid dan alkali secara visual.

Setiap aktiviti dirancang menggunakan pendekatan pembelajaran secara praktikal dan berasaskan inkuiri yang menggalakkan murid membuat pemerhatian, berbincang bersama fasilitator serta merumuskan dapatan daripada eksperimen yang dijalankan.

Pendekatan tersebut bukan sahaja meningkatkan kefahaman murid terhadap konsep asas sains, malah membantu mereka melihat bagaimana ilmu yang dipelajari di dalam bilik darjah diaplikasikan dalam pemprosesan makanan dan kehidupan seharian.

Pendedahan awal kepada bidang STEM penting bagi menyemai minat generasi muda terhadap sains, di samping membina kemahiran meneroka, berfikir secara kritis dan menyelesaikan masalah.

Penyertaan dalam Karnival STEM itu mencerminkan komitmen FST USIM dalam memperkasa pendidikan STEM menerusi aktiviti khidmat masyarakat dan pemindahan ilmu kepada komuniti.

Jalinan kerjasama antara USIM dengan institusi pendidikan diharap dapat terus diperkukuh bagi melahirkan generasi yang kreatif, inovatif dan berdaya saing selaras dengan aspirasi pembangunan modal insan negara.

Oleh: Prof. Madya Dr. Norlelawati Arifin