NILAI, 6 OKT 2015 – Buat kali keempat, Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah (FPQS), USIM menganjurkan Seminar Wahyu Asas Tamadun bermula 6 dan 7 Oktober 2015 bertempat di Dewan Kuliah Utama, Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah (FPQS), USIM.

Seminar ini merupakan kesinambungan pertemuan yang lalu bagi tujuan membincangkan pelbagai isu yang berkaitan dengan Quran dalam konteks keperluan masyarakat kini. Selaras dengan keperluan semasa, tema “”Memasyarakatkan Quran, Mensejahterakan Ummah” dipilih sebagai skop utama perbincangan dalam menjadikan Quran sebagai teras kelangsungan kesejahteraan Ummah.

Seminar ini dirasmikan oleh YB Senator Dato’ Dr. Asyraf Wajdi Dusuki, Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri. Turut hadir adalah Datuk Abdul Latif Mirasa, Pengarah Yayasan Restu sebagai Pembentang Jemputan dan juga Prof. Dato’ Dr. Musa Ahmad, Naib Canselor USIM.

Seminar selama dua hari ini melibatkan satu ucaptama, dua kertas kerja jemputan, satu sidang plenari dan pembentangan kertas kerja melalui lima sidang selari. Seramai 200 peserta menghadiri seminar ini yang terdiri daripada 150 pembentang kertas kerja sidang selari yang terdiri dari kalangan para ahli akademik, penyelidik, tokoh-tokoh agama, kakitangan majlis / jabatan agama Islam negeri, kakitangan swasta, penjawat awam, pelajar-pelajar institut pengajian tinggi dari dalam dan luar negara serta orang ramai yang berminat.

Antara objektif program ialah memartabatkan Al-Quran sebagai asas kesejahteraan dan pencetus transformasi umat dan mengutarakan metod pengaplikasian Al-Quran dalam kehidupan masyarakat moden. Disamping itu juga, ia bertujuan untuk mengemukakan hasil kajian terbaru yang berkaitan Al-Quran dan meningkatkan kefahaman masyarakat terhadap Al-Quran.

Menurut Dato’ Dr. Asyraf Wajdi Dusuki , penganjuran Seminar Wahyu Asas Tamadun (SWAT 2015) ini dilihat sebahagian daripada mekanisma melonjakkan keagungan al-Quran di mata umat Islam dalam usaha memupuk kesejahteraan ummah dalam pelbagai aspek, lantaran kepincangan yang melanda umat pada hari ini. Buah fikiran dan perkongsian oleh para pembentang tentunya tidak akan terhenti sekadar cetusan idea, teori dan resolusi semata, malah implimentasinya harus dijelmakan agar menjadi resipi penyelesaian masalah dan menjadi manual kejayaan umat Islam dan dunia amnya.

“Dalam hal ini, kerajaan memandang bahawa segala usaha bagi memartabatkan al-Quran di tempat yang tertinggi amat wajar diberi sokongan padu, terutamanya dalam menjadikan al-Quran sebagai sumber kemajuan manusia di dunia dan akhirat. Kerajaan akan sentiasa berdiri teguh dan memberikan sokongan sepenuhnya dalam setiap peranan dan usaha murni yang dimainkan oleh USIM. Justeru, usaha yang gigih perlu terus disemarakkan oleh semua pihak agar ia menjadi lebih bermakna. Inisiatif yang diambil oleh USIM melalui Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah dengan penganjuran seminar ini insya Allah mampu membongkar ilmu-ilmu dan penemuan-penemuan terkini bersumberkan al-Quran bagi menangani masalah serta cabaran yang dihadapi”, tambah beliau.

Seminar ini bakal menjadi platform pertukaran idea dan percambahan pemikiran bagi mendalami isu-isu berkaitan pengajian Quran dan ketamadunan. Pertemuan antara cendekiawan dan intelek mampu menjana satu jalinan usaha sama ilmiah bukan sahaja di antara Institusi-institusi Pengajian Tinggi (IPT) di Malaysia, malah di antara IPT tempatan dan antarabangsa.

USIM sebagai sebuah IPTA yang mengintegrasikan antara ilmu Naqli dan Aqli sememangnya sentiasa peka dan mengambil berat terhadap isu-isu kontemporari berkaitan Quran dan aspek-aspek yang berkaitan dengan ketamadunan manusia. Selain itu, tema-tema yang digariskan di dalam SWAT 2015 amat releven dengan kursus-kursus dalam program pengajian yang ditawarkan di FPQS.

Majlis turut menyampaikan sijil kepada tiga orang pemenang  ’Best Paper in SWAT 2015’ iaitu Dr. Adama Bamba dari UM, Omar Osman Hamidi dan Norjihan Ab Aziz dari IIUM.

Turut hadir sama pada majlis tersebut, Naib Canselor USIM Prof, Dato’ Dr. Musa Ahmad, Dekan Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah (FPQS) Prof. Madya Dr. Adnan Mohamed Yusoff dan pengurusan kanan universiti.

Disediakan oleh:

Noorumaina Mohamed Yunus

PUSAT KOMUNIKASI STRATEGIK (STRACOMM)

Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

71800 Nilai, Negeri Sembilan

Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204