KRABI, 14 NOV 2015 – Sekumpulan ahli Kelab Debat Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menganjurkan Global Islamic Student Outreach (GISO) : Travelog Menyelusuri Bumi Krabi bermula 9 hingga 14 November 2015 baru-baru ini. Program ini memberi pengalaman kepada pelajar untuk melaksanakan khidmat komuniti berbentuk fizikal, kerohanian dan intelektual bersama-sama masyarakat Islam di sana.

Terdiri daripada 10 peserta bersama seorang pegawai pengiring, mereka menempuh perjalanan darat sejauh 1010 km selama 14 jam bermula dari kampus Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di Nilai melalui pintu sempadan kedua-dua negara iaitu Kompleks Imigresen Bukit Kayu Hitam (Malaysia) dan Kompleks Imigresen Sadao (Thailand) sebelum melintasi beberapa daerah utama seperti Hat Yai, Phattalung, Songkhla dan Trang sebelum tiba di sana.

Tiba ketika hari sudah melewati senja, keletihan menempuh perjalanan yang jauh bukan alasan menghilangkan keterujaan rombongan GISO untuk membuat persiapan sumbangan keperluan harian sebagai buah tangan ketika menyantuni dan meramahi saudara Muslim Krabi nanti.

“Menjadi salah satu destinasi pelancongan dan percutian yang mula mendapat perhatian para pelancong antarabangsa kerana keindahan pantai dan pulau-pulau sekitarnya, wilayah Krabi, Thailand juga menjadi ‘bumi berteduh dan rezeki’ hampir 500,000 masyarakat Islam Thailand di sana”.

“Pengisian utama yang kami laksanakan di Krabi ialah menziarahi penduduk fakir dan miskin untuk menyampaikan sumbangan makanan harian. Perlu menggunakan kenderaan pacuan empat roda kerana kemudahan jalan raya yang kurang baik dan terletak di pedalaman. Dua kampung menjadi destinasi yang dituju iaitu Kampung Klong Khamao dan Kampung Koh Khlang”.

“Rasa sebak dan menitis air mata peserta GISO tidak dapat dibendung apabila mengunjungi beberapa rumah penduduk kampung yang amat daif dan mendengar sendiri kisah hidup mereka”. ujar Abdul Rasydan Mohamad Rusli selaku Pengarah GISO ke Krabi.

Komuniti Islam di Krabi bukannya seperti saudara seIslam mereka di Yala, Narathiwat atau Songkhla yang mana penduduk terbesarnya di situ beragama Islam. Justeru itu, pelbagai pendekatan dilaksanakan bagi memastikan syiar agama Islam terus semarak dikalangan penduduk Islam Krabi.

Dasar pendidikan negara yang tidak memberi penekanan kepada sekolah berteraskan pendidikan Islam menjadikan survival dan pengorbanan para pendidik sekolah Islam di Krabi wajar dipuji. Peserta GISO berpeluang mengunjungi dua buah sekolah Islam iaitu Anubal Wunthong School (sekolah rendah) dan Wunthong Wittaya School (sekolah menengah) dan menjalankan aktiviti pemindahan ilmu (knowledge transfer) bersama pelajar-pelajar di sana.

Merupakan sekolah dwi-aliran iaitu menerapkan pendidikan kebangsaan di sebelah pagi dan pendidikan Islam bermula pada petang sehingga malam, sekolah ini tidak mengenakan sebarang yuran kepada para pelajarnya malah memberi bantuan makanan percuma kepada pelajar fakir miskin. Diasaskan oleh Almarhum Tuan Haji Soleh Thaokloy, kini ia diuruskan oleh anaknya,Tuan Hj Muktar Thaokloy, sekolah ini menjadi nadi kepada pendidikan Islam formal bagi penduduk di sana.

Tidak menerima peruntukan sepenuhnya dari Kerajaan samada seperti bayaran gaji guru, kelengkapan persekolahan dan pembangunan infrastruktur, inisiatif sendiri para guru dan pentadbiran sekolah, sumbangan zakat dan derma persendirian menjadi kelangsungan kepada institusi ilmu ini untuk terus melahirkan generasi yang berpegang teguh kepada Al-Quran dan As-Sunnah.

Pada hari yang lain, bagi mendapatkan gambaran yang lebih jelas mengenai syiar Islam di Krabi, para peserta GISO turut menziarahi Presiden Komuniti Islam Krabi, Tuan Hj Asnawee Mukura bertempat di pejabatnya di Masjid Besar Wilayah Krabi. Menjadi pusat aktiviti dakwah Islamiah dan tumpuan masyarakat Islam sekitar, masjid ini sentiasa menganjurkan pelbagai program keagamaan dan kerohaniaan sepanjang tahun.

“Di seluruh Thailand, kita mempunyai sekitar 40 daerah yang diduduki penduduk Islam dan kira-kira 230 yang masjid berdaftar di bawah Majlis Agama Islam. Alhamdulillah, masjid ini telah tiga tahun berturut-turut mendapat Anugerah Pengurusan Masjid Cemerlang oleh Kerajaan Thailand. Kita juga mempunyai hubungan akrab dengan Majlis Agama Islam Perlis dalam aspek perkongsian kepakaran kakitangan dan penganjuran kursus bersama” katanya.

Komuniti Islam Krabi menjadikan aktiviti pertanian iaitu getah dan pelancongan sebagai bidang utama sumber ekonomi mereka. Peluang berada di Krabi turut digunakan oleh peserta untuk merasai keindahan alam semula jadi yang Allah SWT ‘hadiahkan’ di sini. Deretan pelbagai kedai di sepanjang Pantai Aonang ibarat syurga membeli belah dan makanan kepada pengunjung kerana ia sentiasa meriah sehingga lewat pagi.

“Mencari makanan halal di sini tidak sesukar mana kerana terdapat lebih 160 premis hotel dan restoren yang menyediakan menu halal dan ia faktor utama pengunjung Islam ‘selesa’ bercuti di sini. Kehadiran pelancong Timur Tengah yang bertandang ke sini semakin bertambah saban tahun”.

Menjadi destinasi pelancongan antarabangsa, pastinya ada tarikan menarik yang memancing pelancong tidak jemu ke sini. Salah-satunya adalah keindahan pulau-pulau yang terdapat sekitar Krabi. Jernih kehijauan air laut sehingga menampakkan keindahan batu karang dan ikan-ikan di sekitar Phi Phi Islands memberi pengalaman indah kepada peserta GISO apabila berpeluang mencuba aktiviti snorkeling. Pasir pantainya yang putih dan bentuk batuan pulau-pulaunya yang unik memberi panorama yang amat cantik untuk merakam foto sebagai kenangan” kata Nur Azreen Zainal, pendebat Bahasa Arab USIM yang mengikuti GISO ini.

Peserta juga mengunjungi Emerald Pool dan Blue Pool yang terbentuk daripada air semulajadi di bawah tanah. Perlu berjalan kaki kira-kira 1 km dari pintu utama untuk ke lokasi kolam, lelahnya hilang apabila melihat kecantikan warna airnya diikuti dengan aktiviti mandi-manda sepuasnya.

Keindahan semulajadi dan kebersihan kawasan-kawasan tumpuan pelancong di sekitar Krabi terpelihara baik kerana penguatkuasaan undang-undang ketat dan dasar Kerajaan yang meletakkan jagaannya di bawah pihak Tentera.

Tidak lengkap mengunjungi Krabi jika tidak mencuba pengalaman menaiki gajah yang menjadi simbol kepada negara Thailand ini. Bersiar-siar menaiki gajah hampir sejam di sekitar Tham Sua Cave amat menarik kerana melalui kawasan denai hutan, bukit berbatu dan meredah kolam air dan sesekali mendengar tempikannya terasa amat mengujakan.

Musafir selama enam hari lima malam di Krabi memberi ibrah yang besar kepada peserta yang terlibat. Erti syukur atas segala nikmat yang Allah SWT berikan, tidak putus asa dalam menghadapi dugaan kesusahan serta menghargai keindahan semulajadi yang tiada galang gantinya menoktahkan perjalanan GISO ini mencapai objektifnya.

Disediakan oleh:

Zaini Othman

PUSAT KOMUNIKASI STRATEGIK (STRACOMM)

Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

71800 Nilai, Negeri Sembilan

Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204