Tamhidi ungguli Kejohanan Debat Piala Naib Canselor 2021

NILAI, 2 September 2021 – Tamhidi ungguli Kejohanan Debat Piala Naib Canselor 2021 apabila dinobatkan sebagai Juara Keseluruhan Debat Piala Naib Canselor yang berlangsung baru-baru ini.

Tamhidi muncul sebagai Johan Kategori Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Bahasa Arab. Bagi Pendebat Terbaik Akhir Bahasa Melayu telah dimenangi oleh Ahmad Hanbal Liman dari pasukan Tamhidi, Pendebat Terbaik Akhir Bahasa Inggeris dimenangi oleh Siti Khadijah Azman dari pasukan Tamhidi dan Pendebat Terbaik Akhir Bahasa Arab dimenangi oleh  Nurul Izzah Zahir dari pasukan Fakulti Sains dan Teknologi. Johan bagi setiap kategori membawa pulang hadiah berupa wang tunai RM1500, manakala pendebat terbaik pertandingan akhir setiap bahasa pula menerima hadiah wang tunai RM100.

Walaupun ia diadakan secara dalam talian, kemeriahan dan sambutan yang begitu memberangsangkan dari semua peserta jelas dilihat sepanjang program ini berlangsung.

Naib Canselor Prof Dato Dr Mohamed Ridza Wahiddin dalam ucapan perasmiannya berkata, penglibatan pelajar dalam program ini boleh membentuk karisma dan peribadi yang unggul dalam diri mahasiswa dan mahasiswi agar mereka mampu berfikiran analitis dan kritis dalam mengupas sesuatu isu disamping dapat mengukuhkan penguasaan dalam Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, dan Bahasa Arab.

“Pujian dan ucapan tahniah saya zahirkan kepada Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Kelab Debat kerana tetap mengambil inisiatif untuk meneruskan tradisi tahunan ini dengan menganjurkan secara dalam talian bagi menyokong usaha Kementerian Kesihatan Malaysia menyekat penularan virus COVID-19 dengan melaksanakan aturan debat dalam norma baharu”.

“Saya menyedari semua pihak iaitu penganjur dan peserta masih lagi dalam fasa untuk membiasakan diri dengan debat norma baharu dari segi persediaan sebelum dan semasa pertandingan berlangsung. Saya percaya pihak penganjur pastinya telah cakna dengan semua perancangan dan keperluan yang bersesuaia supaya majlis ini dapat berjalan dengan lancar”,tambah beliau.

Program anjuran Bahagian Hal Ehwal Pelajar dengan kerjasama Urusetia Kelab Debat USIM ini telah memasuki edisi ke Empat Belas sejak kali pertama ia diadakan pada tahun 2007.

Disediakan oleh:
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan


Ahmad Hanbal Liman (Bahasa Melayu)
 
Siti Khadijah Azman (Bahasa Inggeris)

Nurul Izzah Zahir (Bahasa Arab)
2021-09-06T11:10:20+08:00
Go to Top