Putrajaya, 13 Mei 2009 – Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menggesa pensyarah di negara ini supaya menerapkan nilai moral yang baik kepada pelajar bagi membina bangsa bertamadun pada masa akan datang.

Ini kerana katanya, kemajuan sesuatu bangsa bergantung kepada nilai hidup sesuatu bangsa itu, terutama golongan muda.

“Maju mundur sesuatu bangsa bergantung kepada nilai hidup sesuatu bangsa. Apabila tiada nilai moral dalam diri kita, jadi semakin banyaklah kita lihat keruntuhan akhlak seperti mat rempit di kalangan remaja terutamanya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya yang bertajuk Dunia Islam Dan Cabaran Masa Kini pada sesi dialog bersama 24 kakitangan akademik Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (FKP) USIM  di Yayasan Kepimpinan Perdana, di sini, hari ini

Dr Mahathir turut mengulas mengenai sikap masyarakat sekarang yang dilihat semakin lemah selain takut dengan kebolehan dan kelebihan orang lain disebabkan kurang ilmu pengetahuan.

“Bila kita tiada ilmu pengetahuan, kita akan jadi lemah. Ini kerana jika kita berilmu, maka kita akan dihormati. Ambil contoh masyarakat Jepun yang bersemangat dan bersatu dalam membangunkan Jepun selepas perang.

“Bangsa Eropah pula menguasai ilmu orang Islam dan mempelajari ilmu sains dan teknologi dan seterusnya berjaya membina tamadunnya sendiri,” katanya.

Dalam sesi dialog itu, Dr Mahathir turut menegur sikap masyarakat Islam yang langsung tidak mencerminkan ajaran Islam dalam diri mereka.

“Kita boleh dirikan satu tamadun yang maju jika kita berpegang kepada Al-Quran dan As-Sunnah,” katanya.

Sesi dialog yang berlangsung selama sejam itu turut memberi peluang kepada ahli akademik FKP, USIM melawat galeri dan perpustakaan perdana yang memuatkan kira-kira 7,000 buku ilmiah dan artikel serta album gambar Perdana Menteri Malaysia.

Oleh :
pro@usim.edu.my
Tel : 06-7988025/8026/8028