SHAH ALAM, 19 Mac – Lawatan sulung Radio USIM ke UFM UiTM baru-baru ini menjadi satu titik permulaan sekali gus bertindak sebagai batu loncatan kepada Radio USIM agar lebih berdaya maju dan kompetitif dalam bidang pengurusan radio kampus.

Penyelaras Radio USIM yang juga pensyarah Komunikasi di Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, puan Rosninawati Hussin menjelaskan objektif lawatan ilmiah yang julung-julung  kali ini diadakan bermatlamat untuk  memberi peluang kepada kedua-dua pihak untuk bertukar-tukar pendapat dan pengalaman mengenai radio masing-masing,

“Inisiatif seperti ini mampu memberi pendedahan kepada mahasiswa mengenai cara susun atur dan teknologi yang digunakan oleh UFM dalam mengangkasakan imej mereka di samping menjalin ukhuwah antara dua universiti ini.”

“Perkongsian ilmu melalui lawatan ilmiah ini membantu meningkatkan prakarsa dalam pelaksanaan Radio USIM dan mencabar kemampuan mahasiswa supaya keluar dari zon selesa,” tambah beliau lagi.

Melibatkan seramai 38 orang mahasiswa USIM kunjungan ini dilihat dapat memberi suntikan semangat kepada mahasiswa yang terlibat untuk terus melangkah ke hadapan dalam usaha menjadikan Radio USIM antara senarai radio kampus terbaik kelak.

Menurut Ketua Eksekutif Radio USIM, Muhd Mursyidi Ab Alim, curahan input yang diberikan oleh UFM membantu Radio USIM untuk mengaplikasikan ilmu baharu seperti pengendalian segmen-segmen dengan baik bagi tujuan menarik lebih ramai pendengar.

“Radio USIM selepas ini perlu lebih bijak mengatur strategi dan memperkukuhkan pengurusan organisasi di samping penyampai radio sendiri perlu ada pengetahuan komprehensif dan skill komunikasi.”

“Selain pengisian yang padu, penyampai radio perlu tahu menggunakan nada suara yang efektif untuk membina hubungan dengan pendengar dengan cara yang kreatif,” ujar beliau lagi.

Menurut salah seorang penyampai radio baru USIM, Syed Ubaidillah Syed Ibrahim, menjelaskan lawatan ilmiah ini membuka mata beliau untuk lebih menjana keyakinan diri dan kemahiran insaniah sebagai penyampai radio.

UFM merupakan stesen radio kampus pertama di Malaysia yang mula beroperasi secara frekuensi pada Oktober 1997 diikuti Putra Fm (Universiti Putra Malaysia) dan KKfm (Universiti Malaysia Sabah).

Disediakan oleh :

Ejen Berita (EB Nor Adira  Maulad), Pusat Kebudayaan

Disemak oleh:

Pusat Komunikasi Strategik