NILAI, 18 DIS 2015 – Sambutan Ulangtahun Ke-15 USIM telah melabuhkan tirainya pada 18 Disember lalu bertempat di Dewan Kuliah Utama, Fakulti Quran dan Sunnah. Pada Majlis Penutup Sambutan Ulangtahun yang dihadiri lebih 100 tetamu, seramai 47 orang kakitangan USIM menerima penghargaan sebagai tanda pengiktirafan atas perkhidmatan yang telah disumbangkan selama tempoh 15 tahun di USIM.

“USIM kini semakin teguh dengan bilangan kakitangan seramai 1,521 orang serta 11,800 orang pelajar dalam kalangan pelajar 9,754 Sarjana Muda,1,158 Siswazah, 888 pelajar Pusat Tamhidi serta 50 orang pelajar dari Sekolah Permata Insan. Tidak dilupakan Alumni USIM kini seramai 12,267 yang kini telah berkhidmat di pelbagai agensi mahupun seorang usahawam,” ucap Tan Sri Abdul Shukor yang menerima Anugerah Perkhidmatan Setia USIM 2015.

“Tanpa disedari USIM telah berusia 15 tahun dan saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada kakitangan-kakitangan awal yang bersama-sama saya membangunkan USIM sehingga menjadi sebuah kampus yang indah dan permai seperti yang kita nikmati kini,”tambahnya.

Sambutan 15 tahun diadakan bertujuan mengimbau kembali sejarah penubuhan USIM sebelum ini yang dikenali dengan nama Kolej Universiti Islam Malaysia (KUIM) yang mula beroperasi pada tahun 2000 dengan pengambilan sulung seramai 255 pelajar pada 18 Jun 2000.  USIM tekad memenuhi keperluan semasa apabila program pengajiannya diolah bagi memenuhi kehendak pasaran, industri serta membentuk pembangunan modal insan yang memiliki kemahiran insaniah yang tinggi sehinggalah pada tahun 2007,  KUIM bertukar nama kepada USIM.

Encik Mohd Asri Husain, Penolong Pendaftar Kanan StraComm yang memegang kad staf 10  merupakan salah seorang kakitangan yang telah berkhidmat selama 15 tahun di USIM adalah berkhidmat sebagai Penolong Pendaftar di Unit Hal Ehwal Pelajar pada awal penubuhan USIM yang dahulunya dikenali sebagai KUIM.

Pelbagai kenangan manis dan cabaran yang beliau kongsikan antaranya berpeluang membantu dalam penubuhan universiti Islam pertama pada abad ke 20 ketika itu, selain membantu dalam perkembangan program baharu di Fakulti Sains dan Teknologi, penubuhan Koperasi Kakitangan, Badan Kebajikan dan juga Pengurusan Pelajar Luar Kampus. Harapan beliau agar graduan USIM pada hari ini akan menjadi model graduan seimbang yang utuh dengan membawa ilmu Integrasi Naqli dan Aqli dengan menyumbang kejayaan dan sumbangan kepada pembangunan negara pada masa akan datang.

Di majlis yang sama, Pendaftar USIM, En Mohammad Haizuan Rozali turut menerima penghargaan selain pegawai dan kakitangan USIM yang lain. Majlis penutupan tersebut telah disempurnakan oleh Pengerusi LPU, YBhg Tan Sri Abdul Shukor. Turut hadir adalah Naib Canselor, YBhg Prof Dato Dr Musa Ahmad serta pegawai-pegawai kanan universiti.

Disediakan oleh:

Syazlyna Jamil
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan

Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204