NILAI, 17 Disember 2020 – Bersempena 3rd International Conference on Medicine and Health Sciences (ICMHS), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dengan kerjasama Universitas Jember, Universitas Airlangga, Universitas Muhammadiyah Makassar, University of San Carlos dan Universitas Muhammadiyah Surakarta telah menganjurkan 4rd International Health E-Conference (IHEC) 2020 dengan membawakan tema Healthcare in Pandemic Era: “The New Norm”.

Dalam suasana norma baharu, persidangan ini dijalankan secara dalam talian. Bermula 16 hingga 17 Disember 2020, sebanyak 600 peserta dari pelbagai latar belakang akademik dengan lebih 40 topik yang diperbincangkan dengan memberi tumpuan kepada isu-isu global semasa yang melanda pandemik Covid-19, berkongsi maklumat, selain meningkatkan pengetahuan, memperkasakan pendidikan dalam berhadapan dengan Covid-19 ini.

Antara topik yang dikupas adalah cabaran dalam menangani wabak Covid-19, kesan psiko-sosial pandemik Covid-19, pendidikan perubatan semasa wabak dan kesan ekonomi Covid-19 terhadap sistem penjagaan kesihatan, selain pendekatan yang lebih komprehensif untuk menyesuaikan diri dengan norma baharu ini.

Datuk Dr. Hj. Rohaizat Hj. Yon, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam ucapan perasmiannya berkata, persidangan ini adalah jalan untuk pertukaran idea, mempelajari maklumat dan menjalin kolaborasi bukan sahaja di kalangan kakitangan perubatan di Malaysia, malah di peringkat antarabangsa.

“Kami di KKM menghargai sumbangan universiti dan ahli akademik dalam menghadapi wabak ini dan persidangan ini adalah satu contoh usaha ke arah kepentingan negara”.

Manakala bagi Dr. Nor Eyzawiah Hassan, Pengarah Program berkata, tahun 2020 merupakan tahun yang mencabar apabila negara berhadapan dengan virus yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar dan telah membuat seluruh dunia berhenti ‘operasi’ sejenak. Namun, kehidupan mesti diteruskan dan pelbagai persoalan yang timbul. Sangat tepat tema persidangan kali ini untuk menangani persoalan-persoalan bagi menjelaskan beberapa perkara termasuk isu, cabaran kesihatan awam, kesan ekonomi, pendidikan dan pemahaman sains di sebalik Covid-19 dan kesan psikososial semasa dan selepas pandemik.

 

Disediakan oleh:
Noorumaina Mohamed Yunus
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan