NILAI, 30 Mei 2023 – Sudah menjadi kebiasaan bagi sesebuah organisasi untuk meraikan dan mengeratkan silaturahim antara majikan, staf dan pemegang taruh bagi meraikan Hari Raya Aidilfitri yang merupakan perayaan utama di negara ini.

Walaupun Syawal telah berlalu, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang diterajui oleh Badan Kebajikan Kakitangan USIM (BKKUSIM) dengan kerjasama persatuan kakitangan, fakulti dan pelbagai jabatan tidak ketinggalan menganjurkan Majlis Jamuan Pasca Raya Aidilfitri untuk warganya bersama komuniti setempat dan rakan-rakan strategik universiti.

Lebih bermakna, majlis yang diadakan Bertempat di Dewan Tuanku Canselor dengan kehadiran 1500 tetamu itu turut diserikan dengan kehadiran Duli Yang Maha Mulia Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus, Tuanku Aishah Rohani Almarhum Tengku Besar Mahmud, Tuanku Canselor USIM yang berkenaan  mencemar duli ke majlis jamuan.

Lebih 30 gerai dari pelbagai fakulti dan jabatan terlibat dalam menyajikan pelbagai menu makanan tradisional dan minuman dan antara menu yang tarikan utama semestinya sate, ayam dan kambing golek disamping pelbagai menu lain.

Majlis turut memberi penghargaan dan meraikan 45 orang kakitangan yang bertugas pada 1 dan 2 Syawal dengan penyampaian sumbangan khas disampaikan oleh Naib Canselor Prof. Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani.

Turut diadakan penyerahan zakat perniagaan Koperasi Kakitangan USIM Berhad bagi tahun kewangan berakhir pada Disember 2021 dan 2022 kepada universiti dengan jumlah sebanyak RM10,000.

Hadir memeriahkan majlis Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti YB Dato’ Seri Dr. Haji Zulkifli Mohamad Al-Bakri, Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi Prof. Dato’ Dr. Muhammad Tauffik Mohd Noor, Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa Prof. Dr. Mohd Radhi Ibrahim, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Prof. Dr. Adnan Mohamed Yusoff, dan Pendaftar Dato Muhammad Haizuan Rozali.

 

Disediakan oleh:
Noorumaina Mohamed Yunus
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan