NILAI, 8 Februari 2020- Mahasiswa kini dilihat lebih terbuka dan berminat terlibat dengan aktiviti di luar kampus bagi menambahkan dan memberi pengalaman mengendalikan sesuatu program sebelum menempuh ke alam pekerjaan yang lebih mencabar. Begitu juga, mahasiswa Fakulti Pengajian Sains dan Kesihatan menganjurkan program Jelajah Mahabbah Masjid Nurussa’dah yang julung kali diadakan di bawah anjuran bersama Jawatankuasa masjid Nurussa’adah dan badan-badan persatuan Kolej Kediaman Pandan sesi  2019/2020.

Dalam ucapan Prof. Madya Dr Rushdan Mohd Jailani Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), bertepatan dengan salah satu objektif penubuhan Universiti Sains Islam Malaysia iaitu membekalkan modal insan yang kukuh dengan penghayatan nilai Islam yang mampu berinteraksi dan berkomunikasi dengan berkesan dalam masyarakat, USIM kini menggalakkan agar program-program libat sama masyarakat dilaksanakan lebih giat lagi. Program pemerkasaan pelajar seperti ini mampu melahirkan graduan yang seimbang.

“Dengan adanya program libat sama masyarakat seumpama ini, dapatlah kita memperkasakan pelajar dengan nilai-nilai yang penting yang perlu diterapkan dalam diri pelajar dan memberikan mereka peluang untuk menguasai kemahiran yang hanya boleh diperolehi melalui pengalaman”, jelas beliau lagi.

Menurut Pengarah program Ahmad Uthman Che Abd Aziz, program ini merangkumi aktiviti-aktiviti berteraskan kesihatan seperti konsultansi kesihatan, saringan kesihatan untuk kanak-kanak dan dewasa, selain memberi kesedaran dan pengetahuan kepada mesyarakat setempat tentang pengawalan penyakit berjangkit melalui aktiviti gotong royong dan ceramah kesihatan yang disediakan.

Antara aktiviti yang dijalankan adalah senamrobik, gotong-royong membersihkan kawasan sekitar masjid, aktiviti memasak bersama masyarakat setempat, pemeriksaan kesihatan dan gigi, pameran demonstrasi kesihatan dan sukaneka.

Seramai lebih 150 penduduk setempat yang hadir memeriahkan program disamping menyertai pemeriksaan kesihatan yang diberikan secara percuma.

Turut hadir memeriahkan program Dr. Ainuddin Yushar Yusof Dekan Fakulti Pergigian USIM, Dr. Ahmad Dzulfikar Samsudin, Timbalan Dekan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan USIM, Dr. Rahman Omar, Pengetua Kolej Kediaman Pandan, dan Tuan. Hj. Mohd Ozzudin Hj. Mohd Isa,Nazir Masjid Nurussa’adah Kg. Cheras Baru.

Disediakan oleh:
Noorumaina Mohamed Yunus
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan