NILAI, 21 Julai 2021 –Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menawarkan sebanyak 1654 tempat kepada calon lepasan SPM ke program Tamhidi bagi Sesi Akademik 2021/2022.
Pendaftaran pelajar baharu secara dalam talian yang dijangka akan bermula pada 1 hingga 3 Ogos 2021 itu turut melibatkan 2 pelajar OKU, sorang pelajar bukan warganegara dan 20 pelajar bukan bumiputera.
Pengarah Pusat Tamhidi, Prof Madya Dr Juliana Jumal dipetik berkata, Pusat Tamhidi amat berbesar hati melihat peningkatan penawaran ke program Tamhidi pada tahun ini. Ketika ditanya mengenai sesi Pengajaran dan Pembelajaran (P&P) pada semester baharu nanti, beliau menerangkan bahawa, kaedah P&P akan dimaklumkan dari semasa ke semasa berdasarkan situasi semasa pandemik Covid-19 yang melanda negara dan tertakluk kepada arahan dari Kementerian Pengajian Tinggi.
“Walau apapun kaedah pengajian yang akan digunakan nanti sama ada secara dalam talian atau bersemuka, Pusat Tamhidi sudah bersedia dengan mekanisme yang terbaik untuk memastikan semua pelajar dapat mengikuti sesi pembelajaran dengan baik, berkesan dan sempurna”, katanya.
Manakala Pengarah di Pusat Pemasaran dan Kemasukan Pelajar, Prof Madya Dr Nurkhamimi Zainuddin berkata, penawaran kali ini menunjukkan program Tamhidi di USIM semakin popular walaupun hanya menawarkan empat pilihan program sahaja.
“Pelajar lepasan SPM khususnya yang mengambil mata pelajaran Bahasa Arab dan beberapa subjek Pengajian Islam menunjukkan minat yang tinggi dan memilih untuk menyambung pengajian dalam bidang sains di Tamhidi Perubatan, Pergigian dan Sains dan Tamhidi Sains Fizikal dan Teknologi,” katanya.
Kami di PPKP juga akan terus memberikan informasi dan hebahan dari semasa ke semasa melalui media sosial untuk memastikan calon pelajar USIM mendapat maklumat yang tepat.
Untuk rekod sesi kemasukan kali ini, USIM menawarkan tempat sebanyak 309 (Tamhidi Perakaunan dan Muamalat), 314 (Tamhidi Syariah dan Undang-Undang), 396 (Tamhidi Perubatan, Pergigian dan Sains) dan 635 (Tamhidi Sains Fizikal dan Teknologi).
Pelajar yang telah mendapat tawaran dikehendaki untuk membuat pengesahan setuju terima melalui capaian eTasjil di https://etasjil.usim.edu.my bermula 16 hingga 26 Julai 2021.
sumber: Pusat Pemasaran dan Kemasukan Pelajar
Disediakan oleh:
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan