NILAI, 8 OGOS 2015 – Seramai 26 peserta yang terdiri dari pelajar sekolah rendah dan menengah dari Sekolah Kluster, Sekolah Angkat dan Kolej PERMATA Insan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) berkampung selama dua hari di kampus USIM Nilai bagi menyertai Kursus Penciptaan Lirik Patriotik Saya Anak Malaysia yang dianjurkan oleh Pusat Kebudayaan USIM.
Bertemakan “Melihat Masa Depan Impianku” para peserta diberikan pemahaman dan belajar bagaimana cara menghasilkan lirik yang baik dan berkesan. Penceramah jemputan merupakan seorang aktivis seni tanahair iaitu Syed Indera Syed Omar atau SISO yang berpengalaman luas dalam mencipta lirik dan lagu di persada seni Malaysia.
Encik Ismail Ahmed, Pengarah Pusat Kebudayaan USIM berkata, program bersama peserta yang terdiri daripada pelajar sekolah ini merupakan julung kalinya diadakan kerana sebelum ini program ini dibuat bersama penghuni penjara sejak tahun 2008 lagi.
“Kelainan yang ingin ditonjolkan kali ini adalah memberi peluang kepada anak-anak muda yang merupakan masih di peringkat rendah dan menengah ini untuk menggambarkan perasaan dan impian mereka tentang Malaysia yang mereka inginkan di masa hadapan”.
“Mereka merupakan perintis kita bagi meneruskan legasi Malaysia dan mendepani cabaran yang mendatang, oleh itu diharap program ini merupakan medium bagi mereka menajamkan kemahiran insaniah, meneroka pemikiran masa depan dengan mengekpresi ia melalui penulisan lirik ini”.
“Selepas kursus ini, 15 lirik terbaik akan dipilih dan dimuatkan ke dalam penerbitan Antologi Lirik Terbaik Pusat Kebudayaan dan sebuah lirik terbaik akan diterbitkan dalam bentuk album CIPTA 2016”, tambah Ismail.
Salah seorang peserta, Muhammad Asyraaf bin Hassan, 12, dari Sekolah Chengkau, Rembau melahirkan rasa teruja dan berdebar kerana pertama kali dapat menyertai kursus yang boleh dikatakan menguji minda untuk menghasilkan lirik pada hari terakhir kursus ini. Asyraaf sebelum ini pernah mewakili sekolah ke pertandingan Berbicara Berirama, Bengkel Drama Pendek dan Perkampungan Bahasa Melayu di IPG, Melaka.
Manakala peserta dari Kolej PERMATA Insan USIM, Nurul Aiman Aqilah bt Danny Hamidon,13, kerana minat mendalam dengan Bahasa Melayu beliau ingin mencabar diri untuk menyertai pertandingan menulis lirik walaupun ia adalah pertama kali disertai.
Disediakan oleh:
Noorumaina Mohamed Yunus
PUSAT KOMUNIKASI STRATEGIK (STRACOMM)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204