NILAI, 6 Mei –  Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) bersama Bank Muamalat Malaysia Berhad (BMMB) bekerjasama melalui Memorandum Perjanjian (MoA) Latihan Audit Syariah untuk jangka masa dua tahun bermula tahun 2014 hingga 2016, di mana salah satu daripada bidang kerjasama USIM adalah untuk bersama-sama menjalankan penyelidikan dan melaksanaan Program Latihan Audit Shariah khusus bagi kakitangan BMMB, dengan sebahagian dana dibiayai oleh BMMB sebagai rakan industri USIM.

Program Latihan Audit Syariah ini adalah merupakan satu usaha kerjasama antara USIM dan BMMB, yang dibiayai di bawah ‘Knowledge Transfer Programme’ (KTP), iaitu geran yang ditawarkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Program ini juga sebahagiannya akan turut dibiayai oleh BMMB sebagai rakan industri USIM. Perjanjian ini juga menyaksikan kedua-dua pihak mendapat faedah yang bermanfaat di mana USIM menawarkan kepakaran akademik di dalam bidang kewangan Islam dan pihak BMMB dapat memantapkan tadbir urus melalui pengalaman dalam perkongsian teori dan teknikal berkaitan Audit Shariah.

Pusat Kecemerlangan USIM iaitu Institut Pengurusan Harta dan Kewangan Islam (IFWMI)  akan menjadi peneraju dalam mendapatkan akreditasi daripada Agensi Akreditasi Kewangan (FAA) untuk program latihan audit shariah bagi merealisasikan aspirasi universiti untuk menawarkan Diploma Lepasan Ijazah Dalam Audit Syariah kepada industri di dalam dan di luar Malaysia pada masa akan datang.USIM juga bakal  menawarkan  Sarjana Perakaunan Islam dan Audit Shariah  (MiASA) dimana pengambilan bermula bulan September ini.  BMMB juga akan meneraju usaha untuk melengkapkan kumpulan audit shariah ini dengan pengetahuan audit terkini melalui  latihan berstruktur secara menyeluruh.

YBhg. Prof Dato’ Dr Asma Ismail dalam ucapannya berkata, program ini merupakan antara program latihan pertama di Malaysia dan serantau yang disokong oleh pihak industri bagi melengkapkan juruaudit dalaman dengan pengetahuan teori dan teknikal untuk menjadi Juruaudit Syariah/Perunding yang bertauliah sejajar dengan keperluan badan-badan seperti Lembaga Perkhidmatan Kewangan Islam, Suruhanjaya Sekuriti, Rangka Kerja Tadbir Urus Syariah Bank Negara Malaysia, serta bagi keperluan kawal selia Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 di samping atas permintaan global yang semakin meningkat bagi kelayakan sedemikian.

“Dalam senario dunia yang kian mencabar dan menuntut kecemerlangan dalam setiap bidang, sesebuah institusi tidak boleh bergerak sendirian. Kerjasama sebegini amatlah penting untuk penggemblengan sumber pakar dari Universiti dan juga industri yang bersifat multidisiplin dan mengoptimumkan potensi sumber pakar terutamanya di dalam bidang ekonomi dan kewangan Islam”, jelas beliau lagi.

Majlis disempurnakan oleh Yang Berbahagia Profesor Dato’ Dr. Asma Ismail, Naib Canselor USIM dan Yang Berbahagia Dato’ Hj. Mohd Redza Shah Abdul Abdul Wahid, Ketua Pegawai Eksekutif BMMB, serta beberapa wakil dari BMMB.   Turut hadir pada majlis tersebut YBhg. Prof Dato’ Dr Mustafa Mohd Hanefah dan Pendaftar USIM YBhg. Encik Muhammad Haizuan Rozali.

Disediakan oleh:

Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)