USIM dan International Scientific-Research Center Of Imam Maturidi, Uzbekistan Meterai Perjanjian Kukuh Jaringan Akademik

By |2021-11-16T02:46:36+08:00November 13th, 2021|Campus News, Featured Campus News, Highlights News, News|

NILAI, 11 November 2021 – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) tingkatkan peluang penyelidikan dan penerbitan melalui kerjasama dua hala bersama International Scientific-Research Center of Imam Maturidi, Uzbekistan apabila memeterai Memorandum Perjanjian (MoU) dalam mencapai misi untuk melahirkan ilmuwan, pemimpin dan profesional yang kompeten berasaskan tradisi keilmuan Islam, nilai – nilai luhur agama dan budaya demi kesejahteraan sejagat.

Antara kerjasama yang akan dijalankan bersama International Scientific-Research Center of Imam Maturidi, Uzbekistan ini termasuklah; Kerjasama dalam kajian dan pertukaran manuskrip sedia ada mengenai Aqidah, Falsafah Islam, sumber Islam dan ajaran Maturidiyyah; Pertukaran maklumat saintifik, kerjasama dalam kurikulum dan antara perpustakaan; Kerjasama aktif dalam aktiviti penyelidikan dan penerbitan; Perkongsian pengalaman antara penyelidik pusat/fakulti; Perkongsian pengetahuan berkenaan pengintegrasian ilmu Naqli dan ilmu Aqli serta kerjasama lain yang berkaitan.

Prof. Dato’ Ridza dalam ucapannya berkata, USIM kini sedang berusaha untuk menggembleng dan mengaktifkan kerjasama dengan banyak pihak antarabangsa khususnya bagi tujuan latihan, penyelidikan dan perkongsian kepakaran. Usaha bersepadu antara semua pihak amat diperlukan dalam melaksanakan agenda untuk memperbaiki ummah. Justeru, ilmu, kemahiran dan nilai berlandaskan al-Quran dan al-Sunnah hendaklah dikongsi ke tahap optimum dalam konteks pengajian tinggi.

”Melalui kepimpinan Institut Sains Islam (ISI) yang diketuai oleh Profesor Dr. Mohd Adnan Mohamed Yusoff, diharapkan dapat membantu meningkatkan keterlihatan USIM di peringkat antarabangsa terutamanya melalui aktiviti akademik, kerjasama penyelidikan, dan pelbagai program yang boleh memberi manfaat kepada kedua-dua institusi” ujarnya lagi.

Hubungan dua hala di antara USIM bersama Institusi Pengajian Tinggi (IPT) serta pusat penyelidikan di Uzbekistan ini bukanlah yang pertama kalinya diadakan. USIM kali pertama mewujudkan jaringan dan kerjasama akademik yang seumpamanya dengan institusi-institusi akademik di Uzbekistan adalah pada tahun 2017 apabila menerima kunjungan hormat daripada National University of Uzbekistan, diikuti lawatan kerja oleh Kedutaan Uzbekistan pada tahun 2018, kunjungan hormat Grand Ta’lim Olam pada Mac 2019 dan lawatan akademik daripada Samarkand State University pada November 2019. Daripada lawatan-lawatan tersebut, lima (5) MoU telah dimeterai, antaranya bersama Tashkent Institute of Architecture & Civil Engineering, Samarkand State Architectural & Civil Engineering Institute, Urgench State University, Grand Ta’lim Olam and International Islamic Academy of Uzbekistan.

Turut serta dalam majlis MoU yang dilaksanakan secara hibrid ini adalah Prof. Dr. Mohd Radhi Ibrahim (Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa), Prof. Madya Dr. Rushdan Mohd Jailani (Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Mr. Ravshan Usmanov (Duta Uzbekistan ke Malaysia) serta ahli delegasi Kedutaan Republik Uzbekistan dan International Scientific-Research Center of Imam Maturidi, Uzbekistan.

 

Disediakan oleh:
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan

Go to Top