Nilai, 27 APRIL 2016 – Isu penyalahgunaan dadah merupakan satu fenomena yang tidak asing lagi dalam negara kita mahupun di seluruh dunia. Sehingga kini, kita masih belum berjaya untuk menjumpai penyelesaian bagi menangani dan membanteras penyalahgunaan dadah.

Oleh itu pihak Pusat Penyelidikan Dalam Penyalahgunaan Dadah Asia (ACREDA) bersama pihak KPJ Healthcare University College Nilai mengambil inisiatif untuk menganjurkan satu program yang mengetengahkan isu berkaitan cara pendidikan dan pencegahan penyalahgunaan dadah di peringkat warga universiti iaitu Program Kampus Bebas Dadah USIM – KPJ 2016 pada 27 April 2016.  Program yang akan di adakan bertempat di KPJ Healthcare University College, Nilai  ini bertujuan untuk perkongsian idea dan ilmu berkaitan dengan isu penyalahgunaan dadah pada masa kini.

Program ini turut dianjurkan bersempena dengan Hari Antidadah Peringkat Kebangsaan yang telah jatuh pada 19 Februari setiap tahun. Majlis Perasmian Penutup oleh YBhg Tuan Hj Izhar Abu Talib, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK). Panel-panel penceramah jemputan terdiri daripada wakil Persatuan Pengasih Malaysia, Jabatan Penjara dan Polis DiRaja Malaysia . Sepanjang program berlangsung, beberapa booth pameran akan dibuka oleh pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan persembahan khas oleh Unit Anjing Pengesan (K9), PDRM.

Program ini merupakan salah satu program kolaborasi pihak USIM dan universiti tempatan bagi memberikan sumbangan dalam bentuk pendidikan pencegahan penyalahgunaan dadah kepada warga universiti di Malaysia amnya. Program ini merupakan landasan kepada hasil usaha pihak USIM untuk menyalurkan maklumat dan pendekatan dalam isu nombor satu negara iaitu penyalahgunaan dadah.

Disediakan oleh:

Pusat Penyelidikan Dalam Penyalahgunaan Dadah Asia (ACREDA USIM)

Dikemaskini oleh:

Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan

Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204