KUALA LUMPUR, 28 April 2014 – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menjalin kerjasama menerusi pusat kecemerlangannya (COE) iaitu Pusat Penyelidikan Dalam Penyalahgunaan Dadah Asia (ACREDA) dengan Persatuan Pengasih Malaysia (PENGASIH) melalui satu Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian Persefahaman (MoU) hari ini.

Memorandum persefahaman ini bakal menyumbang ke arah penambahbaikan dan pembaharuan kepada kedua belah pihak bagi menggalakkan kerjasama di dalam bidang-bidang yang telah disepakat. Melalui usahasama ini, pihak USIM akan menawarkan latihan dan pendidikan pencegahan yang berkaitan dengan penyalahgunaan dadah. Ia adalah usaha untuk menambahbaik mutu dan keberkesanan program pemulihan bersepadu dalam menyediakan dan memberi perkhidmatan dalam bentuk sokongan kepada semua komuniti PENGASIH.

Selain pihak ACREDA USIM akan menjalankan penyelidikan bersama pihak PENGASIH bagi menerokai program pemulihan dan rawatan dadah yang boleh diguna pakai sebagai salah satu inisiatif pihak PENGASIH meningkatkan kualiti perkhidmatan yang akan diberikan. Ia juga memberi peluang kepada para pelajar USIM untuk melakukan latihan industri (internship) di PENGASIH melalui bidang kaunseling dalam penyalahgunaan dadah.

Kerjasama ini tidak terhad kepada satu skop peluang sahaja malah ia membawa kepada penganjuran program yang dijalankan secara bersama seperti program rawatan dan pemulihan melalui seminar, kempen media dan program kerohanian malah turut dimuatkan adalah sebarang bidang kerjasama oleh pengajian tinggi yang berpotensi memberi manfaat dan sumbangan kepada masyarakat yang memerlukan bantuan dan sokongan.

YBhg. Profesor Dato’ Dr Asma Ismail, Naib Canselor USIM berkata, tanggungjawab membanteras dan memerangi penyalahgunaan dadah ini haruslah dipikul bersama secara menyeluruh oleh anggota masyarakat. “Atas kesedaran itu, ACREDA USIM ditubuhkan berperanan sebagai pusat rujukan dalam usaha mengurangkan bahkan menghapuskan masalah penyalahgunaan dadah, dan berharap pihak USIM dan PENGASIH akan menggembleng tenaga dan daya usaha untuk menangani masalah yang kian meruncing ini”, jelas beliau.

Menurut Yang Dipertua Persatuan Pengasih Malaysia, YBhg Datuk Mohd Yunus Pathi, sejak penubuhannya seramai hampir 6000 penagih dadah yang telah dirawat pulih oleh PENGASIH, malah turut terdapat warga Negara asing yang menjalani rawatan tersebut.

“Usaha padu dari semua pihak seperti pakar-pakar perubatan, agensi penguatkuasaan, ahli-ahli akademik dan seluruh masyarakat amnya amat perlu dalam memainkan peranan penting dalam memerangi musuh nombor satu Negara iaitu penyalahgunaan dadah”. “Saya amat berterima kasih  dan mengalu-alukan keperihatinan dan kerjasama dari pihak USIM, yang merupakan rakan strategik dan universiti tempatan pertama yang menandatangi memorandum persefahaman bersama PENGASIH”, tambah beliau lagi.

Majlis disempurnakan oleh YBhg. Profesor Dato’ Dr. Asma Ismail, Naib Canselor USIM dan YBhg. Datuk Mohd Yunus Pathi, Yang Dipertua Persatuan Pengasih Malaysia. Turut hadir sama, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), YBhg. Profesor Dato’ Dr Mustafa Mohd Hanifah.

Disediakan oleh:

Pusat Komunikasi Strategik (STRACOMM)

Universiti Sains Islam Malaysia