NILAI – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) melakar kejayaan dengan menganjurkan Majlis Perasmian Penutup Program Perusahaan Sosial Kementerian Kewangan (SE-MOF) pada 7 Januari 2025, bertempat di Galeri Canselori USIM. Program ini, sebahagian daripada inisiatif Belanjawan 2022, bertujuan memperkasakan keusahawanan sosial dalam kalangan komuniti setempat. Majlis tersebut dirasmikan oleh Dato’ Indera Ab Rahman Setiausaha Bahagian Perolehan Kerajaan Kementerian Kewangan. Turut hadir sama Naib Canselor USIM, Prof. Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani, Prof Dato’ Dr. Muhammad Tauffik Mohd Noor Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi dan Prof. Madya Dr. Asmaddy Haris Pengarah USIM PACE.
Dalam ucapannya, Prof. Dato’ Ts. Dr. Sharifudin mengucapkan penghargaan kepada Kementerian Kewangan (MOF) kerana memilih USIM sebagai rakan strategik dalam inisiatif ini. “Keusahawanan sosial adalah elemen penting dalam pembangunan masyarakat dan ekonomi negara. Projek fertigasi halia dan dapur triangulasi Ghost Kitchen yang dilaksanakan membuktikan manfaat besar kepada peserta dan komuniti setempat,” katanya.
Beliau turut menegaskan tanggungjawab universiti dalam menyokong perusahaan sosial sebagai usaha memberikan impak langsung kepada masyarakat sekitar. “USIM, walaupun bukan universiti berasaskan pertanian, berjaya menghasilkan produk inovasi seperti halia fertigasi dan makanan Ready-to-Eat (RTE), sekali gus membuktikan peranan institusi pendidikan tinggi sebagai pemangkin pembangunan sosial dan ekonomi,” tambah beliau.
Kerjasama erat antara USIM PACE dan pelajar Program Teknologi Pemakanan, Fakulti Sains dan Teknologi (FST), turut mencipta kejayaan besar. Melalui pertandingan inovasi, pelbagai produk berasaskan halia telah dihasilkan dengan potensi pengkomersialan melalui dapur Ghost Kitchen. Dua entiti perniagaan juga lahir daripada program ini, iaitu Maeda Global Resources yang memfokuskan kepada industri makanan (F&B) dan Pertubuhan Lestari Agro Hijau yang berasaskan industri pertanian.
Program SE-MOF ini membuktikan keberkesanannya dalam menyemai semangat keusahawanan sosial dalam kalangan komuniti, dan USIM bertekad untuk terus menjadi platform bagi melaksanakan inisiatif seumpama ini demi manfaat bersama.