NILAI, 30 November 2022 –  Sebagai penghargaan kepada penyumbang badan korporat yang telah memberikan dana dan sumbangan kepada Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), satu Majlis Apresiasi telah diadakan di Nilai Springs Resort Hotel bagi meraikan dan mengeratkan hubungan serta jalinan strategik USIM bersama 25 buah Badan-badan Korporat yang terlibat.

Antara badan korporat yang hadir adalah Lembaga Tabung Haji, Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB), Etiqa General Takaful Berhad, Maybank Islamic Berhad, Prudential BSN Takaful Berhad, Bank Islam Malaysia Berhad dan Petronas Bandar Baru Nilai.

Pusat Wakaf dan Zakat (PWZ) USIM telah diamanahkan untuk membantu pendanaan universiti melalui sumber wakaf, zakat, infak, dan endowmen. Pelbagai projek wakaf, infaq dan endowmen yang berpotensi dan diperlukan universiti telah dirancang untuk dilaksanakan, antaranya adalah Pusat Hemodialisis USIM-MAINS-PNB, Klinik Pakar Kesihatan Universiti yang berjaya dibina dan dibangunkan melalui sumber wakaf.

Timbalan Pengarah Pusat Wakaf dan Zakat (PWZ) USIM, Prof. Madya Dr. Nurul Aini Muhamed dalam ucapannya berkata, PWZ telah merangka beberapa program seperti Program Biasiswa Kecemerlangan Asnaf dan Program Agihan Zakat Korporat USIM 2022. Manakala bagi agihan infaq, program terlibat adalah Program Bantuan Makanan kepada pelajar (Food for Needy) dan Projek Bantuan Komputer Riba kepda Pelajar B40.

“Bagi Program Biasiswa Kecemerlangan Asnaf ini, pelajar–pelajar asnaf dapat dibantu melalui Program Iqra’ TH IPTA, Biasiswa Zakat BPMB. Termasuk juga kepada sumbangan zakat yang dapat diagihkan melalui Program Agihan Zakat Korporat USIM 2022 untuk memberi manfaat kepada bantuan kewangan pelajar, projek keusahawanan pelajar dan juga sumbangan dental chair kepada pelajar Fakulti Pergigian”.

Ujar Prof. Madya Dr. Nurul Aini lagi, pada tahun 2021, PWZ berjaya mengagihkan zakat sebanyak RM2,960,418.85.  Manakala sebanyak RM 2,473,375.00 bagi keperluan fakir miskin dan RM487,043.85 bagi program Fisabilillah.

Turut hadir meraikan para penyumbang, Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti YB Senator Dato’ Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, Naib Canselor Prof. Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani dan Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa Prof. Dr. Mohd Radhi Ibrahim.

 

Disediakan oleh:
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan