NILAI, 30 Okt – Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) hari ini menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) bagi penawaran kursus Briged Sukarelawan Khidmat Negara (BSKN) sebagai satu daripada kursus kokurikulum berkredit di USIM.

Pada majlis itu JLKN diwakili Ketua Pengarahnya Datuk Abdul Hadi Awang Kechil manakala USIM diwakili Naib Canselornya Prof Datuk Dr Asma Ismail dan disaksikan Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Abdul Rahim Bakri.

Bercakap pada sidang akhbar selepas majlis itu, Abdul Rahim berkata Kementerian Pertahanan dan JLKN melaksanakan inisiatif di bawah strategi lautan biru dengan menjadikan BSKN sebagai subjek kokurikulum berkredit di USIM.

Beliau berkata kerjasama antara kedua-dua pihak itu merupakan perintis dan jika dapat menjana kesan yang positif, ia boleh diperluaskan ke IPT lain.

“Saya difahamkan pelaksanaan kursus ini sudah bermula pada semester pertama sesi 2013/14 dan kursus ini hanya ditawarkan kepada bekas pelatih PLKN.

“Adalah menjadi harapan kita semua agar bekas pelatih PLKN ini dapat meneruskan kesinambungan ilmu dan pengetahuan yang ditimba semasa menjalani PLKN ke dalam kehidupan seharian dan yang paling utama dapat menyumbang kepada masyarakat dan negara,” katanya.

Asma pula berkata USIM memulakan langkah strategik ini dengan membina reputasi sebagai IPT pertama yang merintis usaha penubuhan BSKN di IPT.

Beliau berkata BSKN merupakan satu kokurikulum berkredit di bawah Teras Kesukarelawanan Pusat Pembangunan Kemahiran Insaniah (PPKI) yang ditawarkan untuk empat semester dan setiap semester menawarkan satu jam kredit – Dipetik dari BERNAMA