SEREMBAN, 5 September 2020 – Tercipta sebuah kenangan manis. Itulah gambaran yang diungkapkan oleh Intan Aika Amira Azhari apabila dinobatkan Johan Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan ke-34 Peringkat Negeri Sembilan yang berlangsung di Seremban 2, Negeri Sembilan. Tajuk puisi yang disampaikan adalah Abadikan Kesetiaan Kita hasil karya Sani La Bise.
Menurut Pengarah Pusat Kebudayaan USIM Encik Ismail Ahmed, ini adalah penyertaan kali kedua USIM ke pentas sayembara peringkat negeri dan percubaan pertama USIM sertai adalah pada tahun 2018 dan turut layak ke peringkat akhir.
“Alhamdulilah kita akan cuba sebaik mungkin untuk berusaha mendapat tempat di peringkat kebangsaan nanti”. Kita melihat ini adalah platform terbaik untuk USIM mencipta nama di peringkat Kebangsaan”, jelas Encik Ahmed.
Peserta USIM Intan Aika Amira Azhari akan mewakili Negeri Sembilan ke Sayembara Deklamasi Puisi Peringkat Kebangsaan yang akan berlangsung pada 18 September 2020, bertempat di Dewan Bahasa dan Pustaka Kuala Lumpur. Beliau yang sedang mengikuti pengajian dalam jurusan Bioteknologi Makanan (Sains dan Teknologi) merasa teruja apabila diumumkan sebagai pemenang dan berusaha sebaik mungkin untuk menyampaikan persembahan yang mampu memberi impak dari segi emosi kepada penonton”.
Sementara itu, Intan menyifatkan kemenangannya sebagai Johan adalah adalah pencapaian terbaik bagi dirinya dalam bidang seni persembahan kerana minat terhadap seni suara yang bermula sejak kecil. Beliau akan berusaha gigih dan menganggap ianya adalah satu tanggungjawab besar untuk menggalas tugas sebagai wakil negeri ke pentas besar di peringkat kebangsaan.
Sayembara Deklamasi Peringkat Negeri Sembilan merupakan anjuran Persatuan Penulis Negeri Sembilan (PEN) dengan kerjasama Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA) dan Dewan Bahasa Dan Pustaka (DBP).
Dalam pada itu, Ketua PEN, Puan Nisah Haron berkata, “penyertaan pada tahun ini amat menggalakan dan ini adalah petanda baik kepada industri sastera kerana majoriti yang menyertai adalah generasi muda yang mempunyai bakat yang boleh digilap dan berpotensi untuk tampil sebagai seorang penyair hebat kelak”. Ujar beliau semasa menyampaikan aluan pada majlis penyampaian hadiah kepada pemenang.
Naib Johan telah dimenangi oleh Najmi Adli Mustaffa dan tempat ketiga Siti Syaidatul Amanina Kamaruddin. Kedua-dua peserta menyampaikan tajuk puisi Citra Jiwa Merdeka oleh Abdul Karim Gullam. Sejumlah 15 peserta yang telah menyertai pertandingan ini dan mempertaruhkan sajak dalam buku Tanggam Warisan terbitan GAPENA.
Majlis penyampaian hadiah disampaikan oleh Haji Hassan Alias Timbalan Ketua Pengarah DBP Wilayah Tengah.
Disediakan oleh:
Rozihani Mohamad
Ketua Unit Pengurusan Dokumentasi dan Kelab Penerbitan Kreatif
Pusat Kebudayaan USIM
Dikemaskini oleh:
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan