NILAI, 11 MEI 2016 – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menyahut cabaran dalam membantu dan membangunkan pendidikan al-quran dan Sunnah dalam kalangan orang kelainan upaya  (OKU) dengan memeterai Memorandum Persefahaman bersama tiga NGO iaitu Yayasan FAQEH, Persatuan Orang Pekak Negeri Sembilan (NESDA), dan Persatuan Orang Pekak Islam Malaysia (PRISMA).

Menurut Naib Canselor USIM Prof Dato’ Dr. Musa Ahmad, melalui kerjasama ini, jaringan kerjasama akademik dan kemasyarakatan akan giat dijalankan seiring dengan USIM sebagai universiti  pertama dalam menawarkan kursus wajib fakulti iaitu Aplikasi Braille dalam Pengajian Quran Sunnah. Bidang OKU ini turut menjadi niche atau Special Interest Group (SIG) di Fakulti Pengajian Quran Sunnah (FPQS) USIM di mana penyelidikan dan inovasi dibangunkan bukan sahaja memenuhi tuntutan dan kelompongan pengajian Islam bgi OKU Penglihatan, bahkan kalangan OKU Pendengaran turut dikaji, berkata.

“Pengiktirafan terhadap penyelidikan dan inovasi di FPQS bermula dari Model al-Quran Braille Rasm Uthmani (Uthmanic Model of Quranic Orthography in Braille), Model Standard dan Format penulisan Arab/Jawi Braille, dan Smart Iqra’ Braille di mana ketiga-tiga produk ini telah memenangi pingat emas  di beberapa pentas inovasi yang dipertandingkan.”

“Diharap dengan termeterinya MoU ini, USIM akan menjadi platform ke arah mengembangkan bidang bitaranya merentasi pelbagai bidang kepakaran. Usaha  ini bertujuan untuk memberi sumbangan dan khidmat masyarakat  kepada golongan istimewa ini dengan merealisasikan ‘indahnya hidup beragama’ dan ‘celik al-quran dan Sunnah’ dalam kalangan OKU”, tambah Dato’ Musa.

Majlis turut melancarkan perisian audio interaktif Buku Pendidikan Islam Sekolah Kebangsaan darjah 1-6 (i-Talk PISKEB) bagi murid Berkeperluan Khas (MBK),dan video bacaan Ruqyah Shar’iyyah dengan terjemahan Bahasa Isyarat Malaysia (eRuqyah al-Isharah) bagi OKU Pendengaran.

Selain itu, FPQS dengan kerjasama Yayasan FAQEH telah membangunkan kelab sukarelawan dakwah OKU dalam kalangan mahasiswa USIM yang diberi nama Sahabat FAQEH USIM (SaF@USIM) yang menjalankan aktiviti kemasyarakatan dengan menganjurkan program-program dakwah kepada mereka.

Turut hadir pada majlis menandatangani MoU adalah Tuan Haji Mohd Zaini Mat Abas Pengarah Yayasan Faqeh, Puan Sariah Ibrahim Presiden Persatuan Orang Pekak Negeri Sembilan (NESDA) dan Encik Marzuki Ong bin Maliki Ong Yang Di Pertua Persatuan Orang Pekak Islam Malaysia (PRISMA).

Disediakan oleh:

Noorumaina Mohamed Yunus

Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)

Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

71800 Nilai, Negeri Sembilan

Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204