NILAI,  14 Mei – Penerbitan buku ilmiah oleh para penulis Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) melalui Penerbit USIM untuk terbitan tahun 2013 dan 2014 berjaya mengutip hasil royalti jualan sebanyak RM 89,683.52. Kutipan royalti tertinggi yang dikutip ini merupakan satu pengiktirafan kepada kualiti buku-buku terbitan USIM yang mencakupi pelbagai bidang ilmu  yang menarik perhatian pembaca.

Agihan royalti dalam bentuk wang tunai kepada para penulis telah disampaikan semasa Majlis Kalam Bitara 2015. Majlis anjuran Bahagian Penerbitan USIM diadakan bertempat di Nilai Springs Resort Hotel pada hari ini dengan 200 penulis buku yang telah menghasilkan sebanyak 240 buah judul buku diraikan oleh Naib Canselor USIM, Prof Dato’ Dr. Musa Ahmad.

Kejayaan kutipan royalti ini banyak dibantu dengan kerjasama strategik Bahagian Penerbitan USIM dengan penerbit luar negara seperti Penerbit Tokoshuku University dan Malaysia Japanese Association di Jepun dan Al-Manhal di Jordan.

Diperingkat tempatan, kepercayaan yang diberikan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) dan Kota Buku memberi cerminan terhadap kemampuan para pensyarah USIM menghasilkan buku-buku bermutu.

“Uniknya USIM apabila para penulis USIM mampu menulis dalam tiga bahasa utama iaitu Bahasa Arab, Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu. Malah kita pernah menerbitkan buku dalam bahasa Luganda dan juga bahasa Jepun yang bagi saya ia amat selari dengan hasrat kita untuk menubuhkan pusat budaya Jepun nanti”.

“Penerbitan buku contohnya adalah satu kaedah memasyarakatkan ilmu kepada dunia luar supaya ilmu kalam itu tidak tercerna dalam diri sendiri. Keilmuwan dan masyarakat Islam tidak pernah terpisah” kata Naib Canselor dalam ucapannya.

Penerbit USIM yang bergerak aktif di bawah Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia (MAPIM) menyertai hampir 24 pameran setiap setahun termasuk pameran bertaraf antarabangsa seperti Frankfurt Book Fair, Tokyo Book Fair dan Pesta Buku Brunei.

Universiti turut menyampaikan insentif kepada ahli akademik yang menghasilkan penulisan jurnal berindeks  seperti SCOPUS, ISI dan ERA. Seramai 87 ahli akademik menerima insentif keseluruhan berjumlah RM 69,400 untuk jurnal terbitan 2014.

Pada majlis yang sama, pensyarah Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Prof Madya Dr. Sapora Sipon menerima Anugerah Royalti Tertinggi dan Anugerah Buku Terlaris (Bahasa Melayu) bagi buku ‘Teori Kaunseling dan Psikoterapi’, Dr. Muhammad Rodhwan Ab. Aziz dipilih penerima Anugerah Buku Terlaris (Bahasa Inggeris) dan Dr. Azman Ab. Rahman menerima Anugerah Penulis Aktif.

Disediakan oleh:

Zaini Othman

PUSAT KOMUNIKASI STRATEGIK (STRACOMM)

Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

71800 Nilai, Negeri Sembilan