UNIVERSITI Sains Islam Malaysia (Usim) melancarkan Usim Global Islamic Students Outreach (GISO) baru-baru ini bagi mengukuhkan agenda pengantarabangsaan sejajar sasaran Bidang Keberhasilan Utama melahirkan graduan berkemahiran holistik dan berdaya saing.

Memfokuskan elemen khidmat masyarakat sebagai pengisian utama, GISO memberi peluang mahasiswa melaksanakan tugas sebagai pendakwah kepada masyarakat Islam seluruh dunia.

Naib Canselor Usim, Prof Datuk Dr Muhamad Muda, berkata kelompok sasaran GISO adalah dalam kalangan masyarakat di negara minoriti Islam dan Pertubuhan Islam Sedunia (OIC) yang hidup dalam serba kedaifan, kurang pendidikan dan perkhidmatan kesihatan.

Katanya, statistik Bank Dunia menunjukkan 70 hingga 80 peratus penduduk Islam dunia hanya berpendapatan kurang AS$2 sehari dan perkembangan itu menarik perhatian Usim, untuk tampil menyalurkan khidmat dan bantuan kepada mereka.

“Kita terpanggil untuk sama membantu, menerusi GISO, biarpun hanya sumbangan kecil, namun kita yakin suatu hari inisiatif awal ini mampu menjadi gerakan utama bagi memastikan impian masyarakat Islam dunia hidup sejahtera tercapai.

“Bermula tahun ini, kita menggabungkan semua program pengantarabangsaan mahasiswa di bawah GISO. Setakat ini, lima program sudah dilaksanakan termasuk satu program, Mahasiswa Usim Merentas Asean 2011 yang kini berlangsung di Makati, Filipina,” katanya.

Muhamad berkata demikian pada majlis perasmian GISO 2011 yang disempurnakan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah di kampus Usim, Nilai. Turut hadir, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar, Prof Datuk Dr Mohamed Asin Dollah.

Katanya, empat lagi program GISO bakal dilaksanakan tahun ini, masing-masing di Kemboja, Vietnam, China dan Korea Selatan yang disertai kira-kira 80 mahasiswa.

Beliau menjelaskan, pihaknya menyasarkan penyertaan 300 mahasiswa dalam GISO setiap tahun bagi memastikan mereka meraih pengalaman dan cabaran dunia global.

Usim juga katanya, ada menyediakan peruntukan bagi membiayai sebahagian kos program. Namun ia bergantung kepada pengisian dengan menilai matlamat, pengisian dan impaknya kepada universiti dan mahasiswa.

“Peserta perlu bersaing mendapatkan peruntukan dari universiti. Namun pada masa sama, mahasiswa juga perlu bijak mengatur strategi untuk mendapatkan dana tambahan bagi menampung keseluruhan kos.

“Peserta disaran sama ada berniaga atau menganjurkan apa saja pertandingan bagi tujuan itu” katanya.
Paling penting, beliau berkata, pelaksanaan program GISO mampu memberi impak signifikan, bukan saja kepada mahasiswa malah universiti.

Oleh:

Khairina Yasin
Berita Harian