NILAI – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) bersama University College Sabah Foundation (UCSF) dalam satu majlis yang diadakan di University College Sabah Foundation (UCSF).

Melalui Memorandum Perjanjian ini, Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina USIM (FKAB) selaku peneraju akan memfokuskan kepada perkhidmatan konsultansi bagi membangunkan program Sarjana Muda Sains Senibina dengan Kepujian di UCSF.

 

Inisiatif ini menjadikan UCSF sebagai Institusi Pendidikan Tinggi yang antara yang terawal di Borneo yang akan menawarkan program Sarjana Muda Sains Senibina dengan Kepujian.

Naib Canselor Prof. Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani berkata, Memorandum Perjanjian ini adalah rentetan daripada pelbagai siri perbincangan antara USIM dengan UCSF Letter of Intent (LOI) telah ditandatangani pada 27 Oktober 2023. MoA ini akan termetrai bagi tempoh perjanjian (5) tahun berkuatkuasa bermula Januari 2024.

“USIM akan diketuai oleh Prof Madya Dr Nurul Syala Abdul Latip, Timbalan Dekan Akademik & Antarabangsa selaku Ketua Konsultan dan bersama konsultan lain yang dilantik di kalangan pensyarah di Jabatan Senibina, FKAB”.

Ujarnya lagi, dengan termeterainya jalinan ikatan ini, diharapkan agar hubungan dan kerjasama di antara dua institusi ini dapat memberikan manfaat bersama dalam menjadikan kerjasama ini sebagai teras kemajuan ummah sekaligus memperkasakan inisiatif Friends of Borneo di bawah payung “USIM Cemerlang, USIM Disayang”. Melalui MoA ini serta kemudahan yang dimiliki oleh kedua-dua pihak, pihak USIM dan UCSF akan dapat menghasilkan satu kerjasama yang dapat memberi manfaat kepada institusi masing-masing.

Setinggi-tinggi penghargaan diucapkan kepada Dr Rafique Idris selaku Naib Canselor UCSF yang sudi bekerjasama dengan USIM.

Detik bersejarah ini turut disaksikan oleh YB Dato’ Sri Haji Gulamhaidar @ Yusof bin Khan Bahadar, Pengarah Yayasan Sabah merangkap Pro Canselor UCSF, Ahli-Ahli Lembaga Pengarah/Pengelola UCSF serta YBhg. Datuk Dr. Mohd Yaakub Haji Johari, Pengerusi, Lembaga Pengarah Uni YS Sdn. Bhd. dan Lembaga Pengelola UCSF.

 

sumber: FKAB