SETELAH berhempas pulas di Pertandingan Bahas Pendidikan Islam Peringkat ASEAN anjuran Universiti Brunei Darussalam (UBD), Brunei Darussalam, USIM akhirnya dinobatkan sebagai juara apabila berjaya menundukkan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di gelanggang akhir dengan usul “Umat Islam Terpinggir Kerana Lemah Dalam Sains dan Teknologi”.

Pertandingan yang julung kalinya diadakan ini berlangsung pada 20 – 22 Jun 2011 bersempena dengan sambutan Jubli Perak, Ulangtahun UBD yang ke-25 dan turut melibatkan universiti-universiti ASEAN yang lain.

Bertindak selaku pembangkang, USIM dibarisi oleh Ummu Umairah bt Azahari, Mohd Ikhwan mohd Rosseli, Muhamad Shah Izad bin Saleh dan Muhammad Irhammudin bin Hj. Ibrahim telah berjaya merangkul kejuaraan dan membawa pulang piala iringan, piala rebutan dan wang tunai Brunei Dollar 1500.00 manakala pendebat terbaik pertandingan disandang oleh Syazwan Shuhaimi, dari UIAM.

Pusingan akhir ini juga turut dihadiri oleh Menteri Pendidikan Negara Brunei Darussalam, Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato’ Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong bersama rektor dan naib canselor universiti-universiti seluruh Brunei.

Kejayaan USIM ini dicapai hasil dari tunjuk ajar lagenda pendebat Bahasa Melayu, En. Syamsul Amri Bin Ismail yang telah membawa USIM ke beberapa pentas akhir pertandingan debat sebelum ini seperti Pertandingan Debat diRaja (Royal Debate), Debat Alam Sekitar, Debat Integriti, Debat Kefahaman Islam  IKIM dan Debat Terbuka Majlis Pembandaran Sepang.

Menurut beliau, “kejayaan ini tidak hanya dirai oleh USIM semata-mata, namun harus juga dikongsi oleh bekas pendebat USIM dan seluruh rakyat Malaysia”.

Bagi Mohd Ikhwan pula, beliau berpendapat jangan terlalu cepat berpuas hati lantas meletakkan diri di tempat yang selesa, sebaliknya perlu bermuhasabah untuk perbaiki diri dan pasukan.

Kemenangan di Pertandingan Bahas Pendidikan Islam Peringkat Asean ini merupakan satu sejarah apabila USIM telah mengharumkan nama Malaysia di peringkat ASEAN. Sejurus selepas diumumkan sebagai pemenang, USIM telah dijemput untuk menghadiri satu sesi khas iaitu temuramah di Radio Televisyen Brunei (RTB) yang dilakukan secara langsung. USIM turut mendapat liputan meluas daripada beberapa surat khabar tempatan Negara Brunei.

Tidak cukup dengan itu, USIM turut menerima beberapa jemputan makan pagi dan tengahari bersama beberapa VIP yang lain namun semua jemputan itu terpaksa ditolak disebabkan oleh kekangan masa. Sepanjang berada di Brunei, USIM turut dibantu oleh En. Rashid Rahman Hassan, naib johan Pidato Antarabangsa 2011, yang menjadi pengiring pasukan USIM.

Pasukan Debat USIM telah menjalani latihan secara berkala sejak 4 bulan yang lalu, tetapi latihan intensif telah dijalankan selama 2 minggu bagi mencari fakta, maklumat dan menguasai isu semasa.

Menurut Ummu Umairah, “Untuk berjaya dalam debat, bukan sekadar kepetahan bersuara yang diperlukan namun kebijaksanaan dan penguasaan sesuatu maklumat itu yang penting”.

Tidak hairanlah jika pasukan debat USIM terpaksa berlatih sehingga lewat malam bagi mencapai matlamat untuk menjadi cemerlang. Namun, itu menjadi lumrah bagi pasukan debat bahasa melayu dalam mencapai cita- cita jika ingin terus melakar kejayaan. Pasukan Debat Bahasa Melayu berhasrat utuk terus mengharumkan nama USIM dimasa akan datang.

Oleh:

Bahagian Hal Ehwal Pelajar
Universiti Sains Islam Malaysia