NILAI – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) melalui Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah (FPQS) terus memperkasa usaha memasyarakatkan ilmu wahyu menerusi Program Pensijilan Pengajian Quran dan Sunnah (SPEQS) edisi 2025 yang berlangsung secara dalam talian bermula pada 26 April 2025 sehingga 16 Ogos 2025.

Program ini menyaksikan seramai 364 peserta daripada pelbagai latar belakang iaitu golongan professional di kalangan doktor perubatan, akauntan dan pegawai PTD, golongan pesara di kalangan Pegawai Kerajaan dan Pengetua, golongan korporat terdiri daripada ketua pegawai eksekutif Syarikat swasta dan NGO serta masyarakat awam dari seluruh Malaysia, Singapura dan Brunei.

Program SPEQS menawarkan ruang kepada masyarakat untuk mendalami ilmu al-Quran dan al-Sunnah secara santai, terstruktur dan mudah diakses tanpa syarat akademik yang ketat.

Menurut Dekan FPQS, Prof. Madya Dr. Mohd Zohdi Mohd Amin, SPEQS bukan sekadar kursus biasa, sebaliknya menjadi jambatan yang menghubungkan masyarakat dengan keindahan ilmu wahyu. SPEQS membuka peluang untuk mereka mendekati al-Quran dan al-Sunnah dalam suasana pembelajaran yang santai, sistematik dan mesra pengguna.

“Bagi tahun ini, SPEQS menawarkan empat pakej pembelajaran yang boleh dipilih berdasarkan minat dan tahap penguasaan peserta”.

“Saya mengucapkan terima kasih di atas komitmen yang diberikan oleh Ahli Jawatankuasa Program yang diketuai oleh Dr Sobri Ellias serta pensyarah berpengalaman dari FPQS, antaranya Dr. Anuar Hasin, Prof. Madya Dr. Ahmad Sanusi Azmi, Dr. Shamsul Hakim, Dr. Lukman Ibrahim dan Dr. Muhammad Arif Musa”, ujarnya.

“Sesi kuliah dijalankan secara dalam talian setiap Sabtu dan Ahad, jam 9.00 pagi hingga 11.00 pagi, dan direkodkan bagi membolehkan peserta mengakses semula bahan pembelajaran mengikut kesesuaian masa masing-masing ”, ujarnya lagi

Dr. Mohd Zohdi berkata lagi, melihat kepada sambutan menggalakkan, FPQS merancang memperluaskan program ini dengan memperkenalkan Pakej tambahan pada masa akan datang, bagi memenuhi permintaan peserta yang ingin mendalami bidang Quran dan Sunnah secara lebih komprehensif.

Selain SPEQS, FPQS turut menawarkan program-program lain kepada masyarakat seperti Program Pensijilan Talaqqi Quran 30 Juzuk Bersanad, Program Tahsin al-Quran (Memperelokkan Bacaan Quran) dan Program Pensijilan Hafazan Quran “Huffaz Mutqin”

USIM komited untuk terus memperkasa budaya ilmu dalam masyarakat dan menyumbang kepada pembinaan insan berteraskan nilai-nilai Ilahi.