Nilai, 16 Julai 2020 – Program bual bicara baharu Pusat Kebudayaan USIM Borak Rakyat-Kami Peduli membuka panggung dengan siri pertamanya hari ini. Borak Rakyat–Kami Peduli menampilkan Naib Canselor Prof. Dr. Mohamed Ridza Wahiddin yang juga pakar sains sebagai panel dalam membicarakan topik ‘Jangan Takut Pada Sains’ yang dikendalikan oleh Dr. Hayati Ismail, Pengarah Kolej Genius Insan USIM sebagai moderator.

Pengarah Pusat Kebudayaan USIM, Ismail Ahmed berkata ‘Borak Rakyat yang dibawakan oleh Pusat Kebudayaan USIM bersiaran selama satu jam akan memfokuskan isu-isu terkini dan tagline Kami Peduli adalah keperihatinan kita sebagai warga Universiti kepada rakyat dalam menghadapi normal baharu kini. Perkongsian bernas akan diutarakan oleh panel-panel mesra rakyat yang berkisar tentang pencerahan mengenai isu-isu yang berlegar di kalangan masyarakat kita umumnya”. Ujar beliau yang ditemui usai siri pertama berlangsungnya Borak Rakyat di Panggung Budaya, Pusat Kebudayaan USIM.

Dalam pada itu Prof. Dr. Mohmed Ridza Wahiddin merakamkan ucapan tahniah kepada Pusat Kebudayaan USIM atas penganjuran Borak Rakyat-Kami Peduli yang dianggap sebagai salah satu medium penyampaian ilmu kepada masyarakat serta memperlihatkan USIM sebagai sebuah institusi yang cakna terhadap isu-isu rakyat.

Disiarkan secara langsung bermula jam 2:30 petang Borak Rakyat yang dilaksanakan buat pertama kalinya berjaya mengumpulkan sejumlah 1,200 ribu tontonan, 122 tanda suka, 66 komen dan 41 perkongsian telah dicatatkan. Borak Rakyat akan berlangsung setiap dua minggu dan warga kampus serta orang awam boleh mengikuti secara langsung menerusi media sosial facebook rasmi Pusat Kebudayaan USIM.

Disediakan oleh:
Rozihani Mohamad
Ketua Unit Pengurusan Dokumentasi dan Penerbitan Kreatif
Pusat Kebudayaan USIM

Disemak oleh:
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)