NILAI, 23 November 2021 – Seramai 2,560 graduan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) diraikan dalam Majlis Konvokesyen USIM Kali Ke-19 mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang berlangsung bermula hari ini sehingga 30 November 2021 dan dilaksanakan dalam lapan sidang bertempat di Dewan Tuanku Canselor, USIM.

Setelah lebih dua tahun berada dalam keadaan pandemik COVID-19, Majlis Konvokesyen ini merupakan konvokesyen secara fizikal sepenuhnya yang pertama diadakan selepas penularan pandemik dengan tema “Pandemik COVID-19 Pemangkin Prosumer Muslim yang Berdisiplin” telah dipilih sebagai tema konvokesyen.

Majlis Konvokesyen USIM Kali Ke-19 ini dimulakan dengan Majlis Pengisytiharan Konvokesyen yang disempurnakan oleh Canselor USIM, Duli Yang Maha Mulia Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus, Tuanku Aishah Rohani Almarhum Tengku Besar Mahmud.

Pada majlis kali ini Tuanku Canselor berkenan mengurniakan Ijazah Kehormat, Gelaran Profesor Emeritus dan anugerah kepada para graduan cemerlang. Dua tokoh dalam lapangan masing-masing yang menerima Ijazah Kehormat ialah Datuk Baljit Singh Sidhu yang menerima Ijazah Kehormat Doktor Falsafah Undang-Undang dan Tuan Hj. Ramli Abdul Samad pula dianugerahkan Ijazah Kehormat Sarjana Kaunseling (Penyalahgunaan Dadah). Menghargai sumbangan tokoh ilmuwan agung yang berjuang demi ummah dan agama Islam, Tuanku Canselor turut menganugerahkan Ijazah Kehormat secara Anumerta kepada Allahyarham Dato’ Dr. Siddiq Fadzil, mantan Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah USIM.

“Bagi penganugerahan gelaran Profesor Emeritus, dua penerima tersebut adalah Profesor Dato’ Dr. Mahmud Mohd Nor, dari Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan serta Profesor Dr. Bachok M. Taib, Fakulti Sains dan Teknologi”.

“Pada majlis yang sama, Tuanku Canselor juga menganugerahkan Anugerah Pelajaran DiRaja (Pingat Jaya Cemerlang) kepada Suwaibah Mustapha graduan Sarjana Muda Bahasa Arab dan Komunikasi dengan Kepujian dari Fakulti Pengajian Bahasa Utama dan Muhammad Syamim Md Morshid, graduan Sarjana Muda Sains dengan Kepujian (Sains Aktuari dan Pengurusan Risiko) dari Fakulti Sains dan Teknologi,” ujarnya.

Turut menerima anugerah dari Tuanku Canselor ialah Nur Alia Farisha Jemangin, graduan Sarjana Muda Syariah dan Undang-Undang dengan Kepujian dari Fakulti Syariah Undang-Undang dan Muslimah Ithnin, graduan Program Doktor Falsafah Sains dan Teknologi dari Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan dengan kedua-duanya menerima Anugerah Canselor.

“Anugerah Lembaga Pengarah Universiti dianugerahkan kepada Nur Amirah Yahaya graduan Sarjana Muda Sains Komputer dengan Kepujian (Keselamatan dan Jaminan Maklumat) dari Fakulti Sains dan Teknologi manakala Pingat Emas Naib Canselor dianugerahkan kepada Syed Muhammad Ibrahim Syed Mud Pu’ad juga dari program pengajian dan fakulti yang sama” katanya.

Dalam pada itu, majlis konvokesyen kali ini turut meraikan dua orang graduan sulung masing-masing dari Fakulti Ekonomi dan Muamalat iaitu Doktor Falsafah Ekonomi Pentadbiran Muamalat mod Penyelidikan Gunaan dan dari Program Sarjana Bahasa Arab (Kesusasteraan Islam) dari Fakulti Pengajian Bahasa Utama.

Pada Majlis Santapan yang turut diadakan pada hari pertama konvokesyen, Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Ibni Tuanku Muhriz berkenan menyempurnakan pelancaran dua buah buku khas iaitu Booklet Integrasi Ilmu Naqli dan Aqli dan Konsep Murabbi Citra USIM.

Sehingga ke Majlis Konvokesyen Ke-18 USIM, seramai 27,837 alumni yang terdiri dalam kalangan ilmuwan, pemimpin dan profesional yang kompeten berasaskan tradisi keilmuan Islam, nilai – nilai luhur agama dan budaya telah dilahirkan yang dapat menyambung legasi USIM untuk berjasa dan berbudi kepada ummah, agama dan negara.

Disediakan oleh:
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan