Nilai, 3 Julai 2009 – Tahniah diucapkan kepada penerima-penerima anugerah di Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang untuk tahun 2008. Seramai 90 orang kakitangan USIM dianugerahkan Perkhidmatan Cemerlang manakala seramai 56 orang pula menerima Anugerah Terpuji. Selain itu sebanyak 12 anugerah telah diberikan seperti Anugerah Sumbangsih, Anugerah Khidmat Masyarakat, Anugerah Kualiti Naib Canselor dan Anugerah Pengurusan Maklumat. Majlis tersebut diadakan bersempena sambutan Bulan Kualiti peringkat universiti yang turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti yang melibatkan seluruh warga kampus.

Pada kali ini turut diadakan pelancaran ‘Destinasi Q’ menuju Anugerah Kualiti Perdana Menteri (AKPM) dan Laman Web Q USIM. AKPM merupakan pengiktirafan tertinggi Kerajaan kepada agensi-agensi yang telah berjaya menonjolkan kecemerlangan menyeluruh dalam pengurusan organisasi serta telah menyampaikan perkhidmatan yang berkualiti kepada pelanggan seiring dengan usaha-usaha untuk mentransformasi perkhidmatan awam ke peringkat world class dan boleh menjadi penanda aras kepada agensi-agensi sektor awam lain.

Majlis ini telah dirasmikan oleh Y.Bhg. Tan Sri Dr. Mohamad Yusof Hj. Md Noor, Pengerusi LPU USIM. Turut hadir Y.Bhg. Prof. Dato’ Dr. Abdul Shukor Hj. Husin, Naib Canselor USIM. Dalam ucapannya Prof. Dato’ Dr. Abdul Shukor Hj. Husin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada semua penerima anugerah pada tahun ini. Beliau berharap agar penghargaan yang diberi akan menjana motivasi dan menjadi suntikan semangat kepada seluruh warga USIM untuk terus bertekad cemerlang dan berdedikasi dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab.

Oleh :
pro@usim.edu.my
Tel : 06-7988025/8026/8028