NILAI, 3 Nov – Pasukan Debat Bahasa Arab Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) terus mencipta kejayaan di pentas debat universiti apabila muncul Johan dalam Pertandingan Akhir Debat Maal Hijrah 1436H Institusi PengajianTinggi (IPT) pada semalam.

Berlangsung di Zabedah Hall, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak, pendebat USIM dibarisi Anis Amirah Zakaria, 21; Azka Annisa Zakaria, 22; Mazyah Osman, 23 dan NurAkma Mohd Dali, 21 bertindak sebagai Pembangkang bertemu pasukan Universiti Malaya (UM) sebagai Kerajaan membahaskan usul  ‘KeprihatinanTerhadap Orang Kurang Upaya dalam Kalangan Masyarakat Masih Lemah’.

Pembinaan bangkangan usul yang kemas, fakta yang jelas serta penghujahan yang menarik oleh para pendebat telah memikat barisan panel juri seterusnya melayakkan mereka sebagai johan untuk membawa pulang hadiah wangtunai RM 3000.00, piala kejohanan, piala iringan dan sijil penghargaan. Berpuas hati selaku Naib Johan, UM menerima hadiah wangtunai RM 1500.00, piala dan sijil penghargaan.

“Alhamdulillah, kemenangan ini adalah sesuatu yang bermakna bagi kami. Hasil usaha persediaan selama dua minggu yang memfokuskan kepada pemantapan penguasaan Bahasa Arab dan pembinaan hujah dan fakta setelah membuahkan hasil” ujarAnis Amirah Zakaria selaku ketua pasukan.

Pertandingan Debat Maal Hijrah ini merupakan kali kedua dianjurkan oleh UIAM sebagai salah satu pengisian sambutan Maal Hijrah disamping mengangkat dan membudayakan Bahasa Arab sebagai bahasa ilmu dan pengantaraan. Pertandingan ini berlangsung pada 31 Oktober hingga 3 November 2014 di Kampus Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak.

Sebanyak14 pasukan dari pelbagai IPT menyertai pertandingan kali ini antaranya USIM, UM, UIAM, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Kolej Universiti Islam Sultan Azlan Shah (KUISAS) dan Darul Quran.

Perasmian pertandingan akhir dan penyampaian hadiah kepada para pemenang telah disempurnakan oleh Profesor Datuk Dr.Mizan Hitam, Timbalan Rektor (Hal Ehwal Pelajar) UIAM.

Disediakan oleh :

Zaini Othman

PUSAT KOMUNIKASI STRATEGIK (STRACOMM)

Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

71800 Nilai, Negeri Sembilan

Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204