13 Ogos 2008 – Baru-baru ini USIM telah mengadakan Majlis Sambutan Kemerdekaan ke-51 Peringkat Universiti. Majlis ini diadakan seiring dengan sambutan raksasa yang diadakan di seluruh negara pada masa ini. Sebagai sebuah mercu tanda gedung ilmu, USIM mengambil langkah ini untuk bersama meraikan satu sambutan yang paling bermakna bagi negara kita. Seperti tahun-tahun yang lalu, USIM mengadakan sambutan kemerdekaan secara menyeluruh yang melibatkan semua jabatan, bahagian, fakulti dan unit.

Sebanyak 20 kontigen menyertai perbarisan sempena sambutan kemerdekaan ini. Antaranya Jabatan Canselori, Jabatan Pendaftar, Jabatan Bendahari, Perpustakaan dan Unit Pembangunan. Lima hadiah telah disediakan untuk setiap kategori perbarisan iaitu Kategori keceriaan dimenangi oleh Jabatan Pendaftar, Berdisiplin oleh Pusat Pengurusan Ilmu dan Teknologi Maklumat, Kategori Patriotik dimenangi oleh Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Bekerjasama oleh Fakulti Kepimpinan & Pengurusan dan keseragaman dimenangi oleh Unit Ko-Kurikulum. Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan telah memenangi kontigen terbaik keseluruhan dengan membawa piala pusingan beserta hamper.

Bagi menzahirkan sambutan kemerdekaan ini kepada seluruh warga USIM, pelbagai acara menarik telah diatur bagi membantu warga USIM menghayati dan menghargai erti kemerdekaan. Antaranya adalah nyanyian lagu kemerdekaan, bacaan puisi, pantun merdeka dan ikrar kemerdekaan. Antara yang menarik adalah gimik sempena kemerdekaan iaitu, burung merpati dilepaskan oleh Y.Bhg. Dato’ Dr. Abdul Shukor Hj. Husin membawa maksud kemerdekaan kepada seluruh warga USIM.

Majlis sambutan kemerdekaan ini diakhiri dengan laungan ‘Kemerdekaan’ sebanyak tujuh kali oleh semua warga USIM. Diharapkan acara sambutan kemerdekaan yang diadakan setiap tahun ini dapat membawa azam dan tekad USIM untuk menuju ke arah Cemerlang, Gemilang dan Terbilang.

Dari :
Unit Perhubungan Awam
pro@usim.edu.my
Tel : 06-798 8025/8026