NILAI, 28 Februari 2023 – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menyahut inisiatif kerajaan bagi mengurangkan kos hidup seharian dengan menawarkan Menu Rahmah yang berharga RM5 di Kafeteria Kolej Kediaman Satu bermula 17 Februari 2023.

Naib Canselor Prof Dato Dr Sharifudin Md Shaarani yang turut hadir melakukan tinjauan di lokasi berkata, pihak universiti sentiasa cakna dan mengambil berat tentang keperluan para pelajar khususnya bagi memastikan pembelajaran dan aktiviti mereka tidak terganggu disebabkan masalah kewangan.

“USIM menawarkan menu rahmah yang berharga RM5 kepada para pelajar termasuk warganya dengan pilihan dua jenis menu berlauk. Kafeteria akan mempelbagaikan menu tersebut mengikut empat pilihan yang diaturkan oleh pengusaha Kafeteria ini. Saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada Pusat Perumahan Pelajar kerana bersama-sama memastikan program ini berjalan lancar”.

“Pada masa yag sama, kita masih meneruskan Menu Bajet yang dikenali sebagai Menu Barakah di kafe yang sama yang berharga RM3.50 sejak tahun lepas lagi. Menu Barakah ini dikhaskan kepada para pelajar yang kurang berkemampuan atau yang ingin melakukan penjimatan boleh mendapatkan menu ini tanpa segan silu kerana menu yang ditawarkan sangat berpatutan dengan menu yang seimbang”, ujarnya lagi.

Sementara itu, saudari Ilmi Munirah mahasiswa Tahun Dua Fizik Gunaan turut mengucapkan terima kasih kepada pengurusan universiti kerana membantu meringankan beban pelajar dengan menjalankan program menu rahmah ini di USIM.

“Program menu rahmah ini turut mendapat sambutan daripada para pelajar yang tinggal di kediaman luar kampus. Ini sekaligus, dapat menjimatkan perbelanjaan mereka yang tinggal menyewa”, ujarnya.

Turut hadir Encik Mohd Salehudin Sukor Pengarah Pusat Perumahan Pelajar untuk melihat sambutan program menu rahmah di Kafeteria Kolej Kediaman Satu.

 

Disediakan oleh:
Noorumaina Mohamed Yunus
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan