NILAI – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada Prof. Dr. Rafidah Hanim Mokhtar dari Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan atas kejayaan menerima Skim Geran Penyelidikan Jangka Panjang (LRGS) 2025 di bawah Dana Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bernilai RM800,000.
Majlis berlangsung di Dewan Tuanku Canselor pada 3 Oktober 2025 sempena Sambutan Hari Akademia peringkat kebangsaan 2025 yang dirasmikan oleh Menteri Pendidikan Tinggi YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abdul Kadir.
Beliau merupakan Ketua Penyelidik Program Utama bagi penyelidikan bertajuk Biopsychospiritual Framework for Healthy Sexuality, Gender Identity, and Dignity for Health and Economic Sustainability. Program ini menghimpunkan kepakaran penyelidik daripada tiga universiti iaitu USIM, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (IIUM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melalui tiga projek penyelidikan yang saling melengkapi.
Menurut Prof. Dr. Rafidah, penyelidikan ini digerakkan sebagai usaha membangunkan pendekatan pendidikan yang lebih menyeluruh dalam membantu masyarakat memahami isu seksualiti sihat, identiti diri dan maruah insan secara berimbang.
“Penyelidikan ini bukan sekadar melihat isu seksualiti dan identiti gender daripada satu sudut sahaja, sebaliknya cuba membangunkan kerangka yang menggabungkan dimensi biologi, psikologi dan spiritual. Pendekatan ini penting supaya pendidikan berkaitan seksualiti sihat dapat disampaikan secara lebih beradab, berasaskan ilmu dan selari dengan nilai masyarakat,” katanya.
Penyelidikan ini memberi tumpuan kepada pembangunan kerangka pendidikan biopsikospiritual yang komprehensif bagi memperkukuh kefahaman masyarakat, khususnya golongan belia, terhadap konsep seksualiti sihat, identiti diri dan maruah insan. Pendekatan ini menekankan keseimbangan antara aspek biologi, psikologi dan spiritual dalam menangani cabaran semasa berkaitan kekeliruan identiti gender, tekanan emosi serta tingkah laku berisiko.
Dalam pelaksanaan program ini, USIM berperanan menerajui pembangunan dan pelaksanaan modul pendidikan untuk pelajar institusi pengajian tinggi. IIUM pula memberi fokus kepada intervensi pencegahan HIV berasaskan psikospiritual dalam kalangan golongan dewasa berisiko, manakala UKM menyumbang melalui pembangunan garis panduan klinikal berkaitan pengurusan kes Disorder of Sex Development (DSD) dan isu identiti gender.
Tambah beliau, kolaborasi antara USIM, IIUM dan UKM membolehkan penyelidikan ini digerakkan secara lebih menyeluruh dengan gabungan kepakaran dalam bidang perubatan, pendidikan, psikospiritual, kesihatan awam dan pembangunan polisi.
“Kami berharap hasil penyelidikan ini dapat memberi manfaat bukan sahaja kepada komuniti akademik, tetapi juga kepada kementerian, agensi pelaksana, pendidik, pengamal kesihatan dan masyarakat. Matlamat akhirnya adalah untuk membina kefahaman yang lebih jelas, sejahtera dan berpaksikan maruah insan,” ujarnya.
Melalui integrasi kepakaran merentas bidang dan institusi, penyelidikan ini dijangka menghasilkan beberapa output utama termasuk modul pendidikan biopsikospiritual, garis panduan kebangsaan berasaskan nilai dan sains, serta model intervensi yang berpotensi dimanfaatkan oleh kementerian, agensi berkaitan dan masyarakat secara lebih meluas.
Kejayaan ini turut memperkukuh kedudukan USIM sebagai universiti yang komited dalam memacu penyelidikan berimpak tinggi berteraskan integrasi ilmu naqli dan aqli, khususnya dalam menangani isu masyarakat secara holistik, beradab dan berpaksikan kesejahteraan insan.